SEKOLAH Menengah Jalan Riam, Miri (RRSS) menjuarai Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2021 yang disiarkan secara langsung melalui media sosial Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia yang dilangsungkan pada 28 September lalu.
Pertandingan Forum Pelajar ini diadakan adalah bertujuan untuk mewujudkan dan menyediakan suasana penggunaan Bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah persendirian Cina dan dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan bertutur dalam Bahasa Melayu baku yang sempurna dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya yang menyasarkan pelajar Tingkatan 3, 4, 5, dan 6.
Pasukan RRSS diwakili Jane John Dines selaku pengerusi, Kelly Voon Yu Xuan, John Nicholas Tan Yew Han, Alvin Siaw DingYi, Rachel Koh Shiun Qi dan Aaron Ng Kian Kiat yang dibimbing dua guru, Seriam Umpeng dan Voon Tze Er .
Dalam pertandingan itu, RRSS yang mengetengahkan tajuk forum ‘Membacalah Demi Masa Depan Negara’ dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 2500, Piala Pusingan Datuk Goh Hin San, sijil, dan kamus.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang Sekolah Menengah Tshung Tsin, Kota Kinabalu, Sabah dan Sekolah Menengah Poi Lam, Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Jane John Dines turut dinobatkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik dan berjaya pulang dengan wang tunai RM 200, sijil dan kamus.
Terdahulu, wakil Sarawak berjaya menjadi Johan Pertandingan Forum Pelajar Sekolah Persendirian Cina pada peringkat kebangsaan selepas dua tahun dan kali terakhir wakil Sarawak merangkul johan adalah pada 2017.
Pertandingan yang diadakan secara siaran langsung di media sosial Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia ini disertai enam zon sekolah menengah persendirian Cina, iaitu Sekolah Menengah Jalan Riam (Sarawak), Sekolah Menengah Tshung Tsin (Sabah), Sekolah Menengah Foon Yew (Wakil Johor), Sekolah Menengah Pin Hwa (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Sekolah Menengah Poi Lam (Perak), Sekolah Menengah Jit Sin Persendirian (Pulau Pinang).
Dalam pada itu, Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan pula dimenangi Jane John Dines dari SM Jalan Riam, Miri yang membawa puisi yang berjudul Di Sini Di Tanah Ini, nukilan Zam Ismail.
Dengan kemenangan itu, Jane membawa pulang wang tunai RM 500, sijil dan kamus sekali gus menjadi peserta RRSS pertama menjadi Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan.
Sementara itu , John Nicholas Tan Yew Han dan Yong Shu Wen yang juga mewakili RRSS mendapat sagu hati dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan yang masing-masing membawa puisi yang berjudul Jangan Berduka Malaysiaku dan Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos.
Kedua-dua puisi tersebut merupakan nukilan Kemala dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM 100, sijil dan kamus
Bagi kategori Pertandingan Suara Harmoni Maya pula, nyanyian lagu “Setia” dan “Bunyi Gitar” membawa tuah kepada RRSS apabila turut dinobatkan sebagai johan.
Pertandingan dalam bentuk kumpulan itu terdiri daripada dua hingga enam orang ahli sahaja yang diwakili Chai Kee Li, Cherly Yu Zhi Lin, Isaac Wong Chong Jue, Hii Xiu Qi , Huang Kee Sheng dan Joel Kong Pang Hing.
Dengan kemenangan itu, Kumpulan Suara Harmoni RRSS berjaya membawa pulang wang tunai RM 2000, sijil dan kamus yang diiringi dua guru iaitu, Ling Siaw Lin dan Jong Kui Fun serta jurulatih, Wesley Lau Jing Liong.
Majlis Perasmian Penutupan Festival Bahasa dan Sastera dan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2021 disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 30 September lalu yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Malaysia, Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia. Dato’ Goh Hin San.
Oleh RAPIK B