KUCHING: Projek Rehat dan Rawat (R&R) Sri Aman dicadang dibangunkan dengan konsep lebih moden, futuristik dan mesra pengguna bagi menjadikannya bukan sekadar tempat persinggahan, malah berpotensi menjadi destinasi tarikan baharu di kawasan Jambatan Batang Lupar 2.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, cadangan itu diketengahkan ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek R&R Sri Aman bersama pegawai Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta pihak perunding, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perkembangan semasa projek selain membincangkan aspek teknikal, perancangan reka bentuk, pelaksanaan serta tindakan susulan yang memerlukan penyelarasan semua pihak berkaitan.
Beliau berkata, R&R Sri Aman perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan pengguna masa kini dan masa hadapan supaya kemudahan itu mampu memberikan pengalaman persinggahan yang lebih selesa dan menarik.
“Hasrat saya adalah supaya R&R Sri Aman tidak hanya berfungsi sebagai tempat untuk berhenti dan berehat, tetapi mempunyai identiti serta daya tarikan tersendiri yang mampu memberi nilai tambah kepada kawasan ini,” katanya.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah perancangan landskap, penyediaan ruang santai serta kawasan yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan persekitaran, khususnya Jambatan Batang Lupar 2.
Dayang Noorazah turut mencadangkan supaya kemudahan masa hadapan seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) turut dipertimbangkan dalam reka bentuk R&R berkenaan.
Menurutnya, elemen reka bentuk yang inovatif dan futuristik penting bagi memastikan pembangunan R&R Sri Aman selari dengan aspirasi pembangunan kawasan tersebut pada masa hadapan.
“Kemudahan yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, malah berpotensi menyokong perkembangan sektor pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Dengan kedudukan yang strategik berhampiran Jambatan Batang Lupar 2, R&R ini mempunyai potensi untuk menjadi salah satu lokasi persinggahan yang menarik bagi penduduk tempatan dan pengunjung dari luar Sri Aman,” katanya.
Pada masa sama, Dayang Noorazah merakamkan penghargaan kepada SADA, JKR Sarawak, pihak perunding serta semua pihak berkepentingan atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berharap kerjasama erat antara semua pihak dapat diteruskan supaya Projek R&R Sri Aman dapat direalisasikan dengan sebaiknya serta menjadi antara kemudahan ikonik yang memberi manfaat kepada pengguna dan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman





