
KUALA LUMPUR: Penyanyi Singapura, Roziana Cindy kembali dengan single terbaharu berjudul Tinggalkan Luka, menyusuli kejayaan lagu Paling Sejati yang dilancarkan pada November tahun lalu.
Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso yang sebelum ini menggubah beberapa karya popular seperti Bukan Dia Tapi Aku, nyanyian Judika dan Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari.
Menurut Roziana, Tinggalkan Luka mengangkat kisah kekuatan individu yang bangkit selepas melalui pengalaman patah hati dan mengetengahkan elemen keikhlasan serta ketulusan dalam setiap bait lirik.
“Lagu ini mengingatkan kita untuk melepaskan kesakitan yang pernah melingkari hidup dan tidak membiarkannya mendefinisikan diri kita. Saya amat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan Ilham yang berjaya menzahirkan makna lagu ini dengan begitu bererti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Single itu dilancarkan baru-baru ini di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer, manakala video lirik rasmi dimuat naik di saluran YouTube Roziana Cindy pada hari sama. — Bernama