

LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi menegaskan komitmen beliau untuk terus memperkasa kesejahteraan komuniti luar bandar melalui penyaluran peruntukan dan pelaksanaan program berterusan di kawasan Parlimen Lubok Antu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pengerami Gawai Mangkong Tiang yang berlangsung di Rumah Tracy Tisak, Ili, Skrang, sebagai platform memperkukuh perpaduan komuniti serta memelihara adat dan budaya masyarakat rumah panjang.
Menurut Roy, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mencerminkan keharmonian masyarakat setempat, malah menjadi medium penting untuk mendengar sendiri keperluan dan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM5,000 kepada Biro Wanita serta RM3,000 kepada Belia bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan modal insan.
Selain itu, Roy turut bersetuju meluluskan Peruntukan Projek Mesra Rakyat Tahun 2026 berjumlah RM200,000 bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan prasarana Rumah Tracy Tisak demi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
Beliau menegaskan bahawa penambahbaikan kemudahan asas di rumah panjang adalah keutamaan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup komuniti setempat, khususnya dalam aspek keselamatan dan keselesaan.
Selepas program berkenaan, Roy turut melakukan pemantauan beberapa projek di Rumah Achin (Tisak Langkong), Rumah Christina (Rembai) dan Rumah Rebecca (Lipat) bagi memastikan semua projek yang diluluskan dilaksanakan mengikut perancangan dan spesifikasi ditetapkan.
Beliau berharap segala sumbangan dan peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti rumah panjang serta menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan, seimbang dan berterusan di kawasan luar bandar Lubok Antu.
Oleh Adi Safarman