
LUBOK ANTU: Kehadiran Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi telah menyuntik harapan dan memberikan sinar baharu kepada penduduk Rumah Lintong, Nanga Kesit, Lemanak, selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran pada 19 Mei lalu.
Setakat ini, kesemua 47 orang penghuni daripada 15 keluarga yang terjejas kebakaran itu kini tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Lubok Subong.
Roy berkata, lawatan pada hari ini merupakan lawatan susulan, selepas lawatan pertama diadakan pada 20 Mei lalu.
“Kehadiran saya pada hari ini adalah untuk menunaikan janji saya bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Rumah Lintong, Nanga Kesit, Lemanak,” katanya.
Semasa lawatan pertama baru-baru ini, Roy turut mengumumkan sumbangan RM150,000 bagi projek meratakan tapak rumah panjang dan RM10,000 bantuan mendirikan rumah sementara.
Manakala bantuan berjumlah RM1,000 bantuan pendidikan kepada tiga pelajar dan RM15,000 bantuan tunai kepada semua keluarga terlibat (RM1,000 setiap keluarga) yang telah dihulurkan pada semua ketua isi rumah (KIR) hari ini.
Selain itu katanya, bantuan turut disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meliputi bantuan barang binaan, peralatan dapur, kelengkapan dan pakaian sekolah, wang saku serta pakaian harian untuk mangsa.
Roy menegaskan komitmennya untuk terus menyokong rakyat dalam menghadapi musibah serta memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Semasa lawatan tersebut, beberapa pihak termasuk orang awam, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Lubok Antu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Terabai Menua Pampang Kuching hadir untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.
Roy turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah tampil memberi sokongan dan bantuan tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka.
“Nilai persaudaraan dan keprihatinan inilah yang menguatkan semangat komuniti dalam menghadapi musibah. Ini termasuk peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lubok Antu yang sejak awal lagi hadir memberikan bantuan dan sokongan,” katanya.
Oleh Adi Safarman