ROTI yang siap dibakar dalam ketuhar.
ANDA bosan makan nasi setiap hari? Apa kata, cuba makan roti pula.
Sesekali mesti rasa nak ubah selera. Kali ini, penulis nak ajak semua buat satu resepi yang paling mudah dan semestinya menyelerakan.
Resepi yang dimaksudkan adalah roti bawang putih dan sup cendawan.
Sebut sahaja dua makanan ini, mesti ramai yang terbayangkan Pizza Hut kan. Sebenarnya, kedua-dua jenis makanan ini amat mudah disediakan di rumah tanpa pergi ke Pizza Hut.
Bahan-bahan untuk resepi roti bawang putih ialah sediakan roti bantal, dua sudu besar mentega, secubit daun parsley dan satu ulas bawang putih.
Cara-cara untuk membuatnya, mula-mula bakar sedikit bawang putih dan tumbukkan halus-halus. Selepas itu, campurkan bawang putih yang telah lumat dengan mentega dan daun parsley. Sapukan pes ini ke atas roti anda. Letak atas kuali leper masak hingga garing dan keperangan. Sedia untuk dimakan!
Manakala, bahan-bahan untuk resepi untuk sup cendawan ialah 300ml air, 500ml susu segar, satu kiub ayam, setengah sudu teh daun parsley, setengah sudu teh serbuk lada hitam, setengah sudu teh garam, setengah cawan tepung gandum, setengah sudu besar mentega, satu tin cendawan butang (potong/hiris/cincang) dan sedikit serbuk perisa.
Cara-cara untuk membuatnya, tuangkan air dan susu segar ke dalam periuk. Tunggu hingga ia mendidih dan kemudian barulah masukkan kiub ayam, kacau dua hingga tiga minit dan masukkan pula lada hitam dan cendawan butang. Kacau lagi selama lebih kurang 15 minit.Seterusnya, masukkan daun parsley, mentega dan garam. Kacau lagi dalam 10 minit. Bancuhkan tepung dengan air dan kacau supaya tidak berketul. Kemudian boleh tapiskan ke dalam periuk. Kacau sebati sehingga sup akan menjadi pekat. Siap!
Mudah bukan? Jadi, tak payah beli roti bawang putih dan sup cendawan dekat luar lagi. Masak sendiri di rumah lebih jimat. Boleh dinikmati bersama keluarga!
Oleh NUR AIN OTSMAN