Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Rosmah gagal singkir hakim dengar perbicaraan kes solar
  • MAHKAMAH

Rosmah gagal singkir hakim dengar perbicaraan kes solar

Utusan Sarawak 3 weeks ago
ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor keluar dari Mahkamah Rayuan hari ini selepas mendengar keputusan berhubung rayuan beliau untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zaini Mazlan. Rosmah gagal dalam rayuannya agar Mohamed Zaini menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak yang dihadapi beliau. Keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak mempunyai merit. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam rayuannya agar Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak yang dihadapi beliau.

Keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak mempunyai merit.

“Kes solar melibatkan perayu telah didengar oleh hakim bicara iaitu Datuk Mohamed Zaini Mazlan lebih dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut, perayu tidak pernah membuat permohonan agar hakim itu menarik diri.

“Perayu sepanjang tempoh itu menerima bahawa hakim tersebut adalah adil dan saksama. Oleh itu, kami dapati permohonannya adalah tidak bermerit dan beliau gagal menunjukkan real danger of bias,” katanya.

Turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ahmad Zaidi berkata setelah meneliti hujahan serta keterangan yang dinyatakan, mahkamah mengambil maklum bahawa terdapat dua alasan penghakiman bagi kes ini iaitu setebal 71 muka surat yang dikatakan disediakan oleh pihak ketiga dan satu lagi setebal 116 muka surat yang disediakan oleh hakim perbicaraan.

“Setelah meneliti kedua-dua alasan kehakiman, jelas pada hemat kami terdapat kelainan yang ketara dalam kedua-dua dokumen tersebut. 

“Ini menunjukkan apa yang dinyatakan oleh hakim bicara bahawa beliau menyediakan alasan penghakiman sendiri tanpa menggunakan alasan penghakiman oleh pihak ketiga adalah konsisten seperti dinyatakan,” katanya.

Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri pada saat akhir iaitu sebelum beliau menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022. 

Permohonan itu dibuat berdasarkan dakwaan bahawa draf penghakiman dalam kes itu telah bocor dan disediakan oleh pihak ketiga sebelum dibacakan secara rasmi.

Pada hari sama, Rosmah disabitkan dengan kesalahan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda terhadap Rosmah sementara menunggu keputusan rayuan beliau.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pelajar senior dakwa bangun awal kerana mahu cuci pakaian – Saksi
Next: Pegawai penyiasat kes tidak keluarkan borang permintaan pemeriksaan jenazah Zara Qairina – Saksi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.