
BATU NIAH: Program ‘Ngabang Gawai’ oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, diteruskan pada hari ketiga sambutan Gawai Dayak dengan kunjungan ke kawasan Saeh, Niah, hari ini.
Kunjungan Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu di Saeh ke rumah pemimpin masyarakat iaitu Penghulu Epat Bakar, Rumah Panjang Tuai Rumah (Tr) Segiong Bakar, rumah Tr Ayai Sawing dan rumah Tr Christopher Banyong.
Kunjungan beliau ke rumah panjang tersebut telah disambut meriah dengan persembahan paluan gong, gendang dan tarian ngajat oleh penduduk terbabit.

Rombongan disambut dengan air tuak, iaitu minuman tradisional wajib dalam budaya Dayak apabila ‘temuai’ atau ‘pengabang’ (tetamu) datang berkunjung sempena Gawai.
Tuai Rumah Ayai Sawing ketika ditemui Utusan Sarawak berkata penduduk di situ sangat rapat dengan Datuk Rosey, dan setiap tahun semasa sambutan Gawai Dayak dan Krismas, beliau pasti akan datang ke rumah panjang tersebut.
“Begitu juga semasa Aidilfitri, kami penduduk dari rumah-rumah di Zon Saeh akan berkunjung ke rumah beliau.
“Kunjungan seperti ini menjadikan kami ibarat saudara yang sangat rapat, apatah lagi rumah panjang kami tidak jauh daripada kampung halaman Datuk Rosey Yunus,” katanya lagi.
Rombongan Datuk Rosey terdiri daripada anggota Gerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu serta para pemimpin masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu