Enzo Fernandez meraikan jaringan kemenangan Chelsea ketika menentang West Ham. Foto AFP
LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior percaya pasukannya memiliki sesuatu yang “istimewa” selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan West Ham 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Chelsea dikejutkan dengan dua jaringan separuh masa pertama oleh Jarrod Bowen dan Crysencio Summerville, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah.
Namun, The Blues bangkit dengan aksi bertenaga selepas rehat apabila Joao Pedro merapatkan jurang sebelum Marc Cucurella menyamakan kedudukan menerusi tandukan.
Kapten pasukan, Enzo Fernandez kemudian muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus mencatat sejarah sebagai kebangkitan pertama Chelsea daripada ketinggalan dua gol ketika rehat untuk menang dalam era Liga Perdana Inggeris.

“Apa yang paling saya pelajari ialah semangat, daya juang dan ketahanan mental pasukan ini yang saya sangat kagumi,” kata Rosenior.
“Kami tidak banyak sesi latihan, tetapi kami berbincang mengenai keperluan untuk bertindak balas secara positif apabila berdepan kesukaran. Semua itu ditunjukkan pada babak kedua, berbeza dengan separuh masa pertama.”
Rosenior mengakui Chelsea bergelut pada awal perlawanan akibat kepadatan jadual, selain membuat keputusan yang lemah ketika menguasai bola dan melakukan tekanan.
“West Ham jauh lebih baik pada separuh masa pertama. Namun reaksi pemain selepas rehat membuktikan kami ada sesuatu yang benar-benar istimewa jika saya dapat memanfaatkan skuad dengan cara yang betul,” katanya.
Kemenangan itu melonjakkan Chelsea ke tangga keempat liga, selain menyaksikan Rosenior menjadi pengurus Inggeris keempat memenangi tiga perlawanan liga pertamanya, selepas Bobby Gould, Sam Allardyce dan Craig Shakespeare.
Sejak mengambil alih pasukan daripada Enzo Maresca, Rosenior mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan.
Kejayaan itu hadir hanya beberapa hari selepas Chelsea bangkit menewaskan Napoli 3-2 di Itali untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, namun kebangkitan ke atas West Ham dianggap lebih mengagumkan.
Keputusan Rosenior melakukan tiga pertukaran pemain pada waktu rehat terbukti tepat apabila Chelsea menguasai sepenuhnya babak kedua.
“Prestasi separuh masa pertama kami, secara individu dan berpasukan, langsung tidak mencapai tahap sepatutnya. Ia kesilapan kolektif, bukan salah individu,” jelasnya.
“Separuh masa pertama amat lesu, tetapi babak kedua adalah segala-galanya yang saya mahu lihat daripada pasukan ini,” katanya. – AFP