Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Rosenior beri amaran keras disiplin pemain Chelsea
  • SUKAN

Rosenior beri amaran keras disiplin pemain Chelsea

Utusan Sarawak 6 hours ago

Pemain Chelsea, Pedro Neto diarah keluar padang ketika menentang Arsenal. Foto AFP

LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior memberi amaran tegas kepada pemainnya supaya memperbaiki disiplin selepas Pedro Neto menjadi pemain kesembilan kelab itu dibuang padang musim ini.

Kekalahan 1-2 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal di Stadium Emirates, Ahad lalu menyaksikan Chelsea hanya menang dua daripada enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Chelsea kini di tangga keenam liga dan akan bertandang ke markas Aston Villa Rabu ini, dengan ketinggalan tiga mata di belakang Liverpool dalam perebutan slot Liga Juara-Juara musim depan.

Masalah disiplin jelas menghantui The Blues apabila Neto menjadi pemain ketujuh mereka dilayangkan kad merah dalam saingan liga musim ini.

Rosenior, yang menggantikan Enzo Maresca pada Januari, berkata Neto sudah memohon maaf kepada rakan sepasukan selepas dibuang padang pada minit ke-70.

“Peranan saya adalah mewujudkan budaya akauntabiliti. Jika kamu buat kesilapan, akui dan pastikan ia tidak berulang,” kata pengendali dari England itu.

“Jika saya tersilap memilih pasukan, saya juga perlu bertanggungjawab. Perkara sama untuk pemain pada saat itu.”

Menurutnya, Neto yang akan terlepas aksi di Villa Park minggu ini sudah menunjukkan penyesalan, namun beliau mahu melihat perubahan ketara dari segi sikap.

“Bukan hanya Pedro. Kami ada kad kuning kerana bantahan dan kekasaran tidak perlu. Jika mahu berada di tahap yang kami sasarkan, kami perlu ambil langkah sedar untuk ubah keadaan ini,” katanya.

Rosenior menegaskan statistik jelas menunjukkan peluang kemenangan meningkat mendadak apabila Chelsea beraksi dengan 11 pemain.

“Saya tak mampu lalui satu musim dengan kad merah setiap dua atau tiga perlawanan. Jadi pemilihan pasukan akan berdasarkan siapa yang menunjukkan peningkatan dalam aspek ini,” tegasnya. – AFP

Continue Reading

Previous: Futsal Raya Terbuka Kampung Bakong 2026, tawar hadiah RM1,000 bergelar juara
Next: Mbappe jalani rawatan lutut di Paris

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.