
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli tekad mengulangi kejayaan musim lepas pada pusingan ketiga MotoGP Rookies Cup di Litar Aragon, Sepanyol pada hujung minggu ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu berkata segala persiapan sedang dilakukan dan beberapa perlu diperbaiki daripada perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan JuniorGP di Litar Perez minggu lepas, terutamanya semasa sesi kelayakan.
“Selepas tamat perlumbaan FIM JuniorGP pusingan kedua di Jerez, saya terus ke Barcelona untuk menjalani latihan dan membuat persiapan bagi menghadapi perlumbaan MotoGP Rookies Cup minggu ini.
“Banyak perkara yang perlu saya perbaiki daripada perlumbaan minggu lepas, terutamanya di sesi kelayakan. Namun, saya berasa yakin untuk bersaing di litar Aragon dan berharap agar semua peminat serta keluarga dapat mendoakan kejayaan saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Hakim Danish kini mendahului carta keseluruhan MotoGP Rookise Cup dengan 80 mata, mengatasi Benat Fernandez dari Sepanyol di tempat kedua dengan ketinggalan 23 mata manakala pencabar utamanya Brian Uriarte juga dari Sepanyol ketiga dengan perbezaan 30 mata dari pelumba negara.
Untuk rekod, Muhammad Hakim Danish pernah muncul juara dalam Race 2 MotoGP Rookies Cup musim lepas.
-Bernama