
KABONG: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di perairan Kabong yang secara rasmi ditamatkan petang semalam, tetap diteruskan melalui rondaan rutin oleh aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, keputusan penamatan dibuat selepas tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh bagi mengesan seorang lagi mangsa, Mohammad Aiman Tuah, 24 tahun.

Beliau dalam pada itu menggesa komuniti maritim setempat agar terus menyalurkan maklumat sekiranya menemui petunjuk atau objek mencurigakan di laut.
“Orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia berhampiran untuk tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Terdahulu, mayat seorang lagi mangsa, Tuah Bujang, 57, ditemukan kira-kira 0.3 batu nautika dari lokasi bot karam pada Sabtu lalu oleh sekumpulan nelayan tempatan.
Jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.
Oleh Adi Safarman