
SARIKEI: Paras air sungai di Jalan Bersatu berada dalam keadaan surut dan terkawal semasa rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) oleh pihak bomba pada tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan pemantauan tersebut dilaksanakan pada 12.00 tengah malam dengan penglibatan dua anggota bomba.
“Pemantauan dijalankan di kawasan Jalan Bersatu dan hasil rondaan mendapati paras air sungai berada dalam keadaan surut dan menunjukkan trend menurun.
“Keadaan persekitaran di lokasi pemantauan adalah terkawal walaupun cuaca dilaporkan mendung sepanjang rondaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, rondaan berterusan akan terus dilaksanakan bagi memastikan sebarang perubahan paras air dapat dikesan lebih awal, khususnya ketika musim MTL.
“Langkah pemantauan awal ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terpelihara dan sebarang risiko dapat ditangani dengan segera.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek