
DARO: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro melaksanakan rondaan Monsun Timur Laut (MTL) menggunakan dron di beberapa kawasan sekitar Daerah Matu dan Daro hari ini, bagi memantau situasi semasa dan tahap keselamatan penduduk.
Menurut kenyataan BBP Daro yang dimuat naik di Facebook, rondaan itu dijalankan dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari melibatkan 12 lokasi iaitu Kampung Jemoreng, Kampung Treng, Kampung Muut, Kampung Sekaan Besar, Kampung Dagang Matu, Kampung Pasar Lama Cina, Pekan Matu, Kampung Bertong, Kampung Sok, Kampung Tian, Kampung Pangtray serta Kampung Tengah.

“Pemantauan menggunakan dron membolehkan pasukan mengenal pasti lebih awal sebarang perubahan keadaan, khususnya risiko berkaitan cuaca monsun, selain memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.
BBP Daro memaklumkan rondaan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan komuniti setempat sentiasa terpelihara.

Orang ramai turut dinasihatkan agar menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Daro dengan segera sekiranya berlaku kebakaran atau sebarang kecemasan lain.
Oleh Tarani Lanting