Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Ronaldo pimpin Portugal ke Piala Dunia keenam, Diaz sandaran Colombia
  • SUKAN

Ronaldo pimpin Portugal ke Piala Dunia keenam, Diaz sandaran Colombia

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYERANG Portugal yang mewakili Al-Nassr, Cristiano Ronaldo (jersi nombor 07), bergambar bersama trofi selepas menjuarai Liga Pro Saudi pada penghujung perlawanan bola sepak menentang Damac di Stadium Al-Awwal Park, Riyadh, pada 21 Mei 2026. Foto AFP

LONDON, United Kingdom: Cristiano Ronaldo bakal mencipta sejarah apabila tampil dalam Piala Dunia keenamnya sambil mengetuai skuad Portugal yang dibarisi ramai pemain berbakat dalam usaha memburu kejuaraan dunia pertama negara itu.

Pasukan kendalian Roberto Martinez itu dilihat sebagai pilihan utama untuk mara daripada Kumpulan K yang turut dibarisi Republik Demokratik Congo (DR Congo), pendatang baharu Uzbekistan dan Colombia.

Ronaldo serta pencabar utamanya, Lionel Messi, dijangka mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.

Namun, sejak Portugal menamatkan saingan di tempat keempat pada kejohanan sulung Ronaldo pada 2006, mereka jarang dianggap sebagai pencabar serius untuk muncul juara meskipun memiliki penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa dengan 143 gol.

Kini berusia 41 tahun, kehadiran Ronaldo sering dianggap antara faktor yang menyebabkan Portugal gagal memaksimumkan potensi mereka dalam beberapa kejohanan utama kebelakangan ini.

Penyerang Al-Nassr itu juga gagal menjaringkan gol dalam sembilan penampilan terakhirnya di Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro).

Malah, Ronaldo pernah digugurkan oleh Fernando Santos dan digantikan dengan Goncalo Ramos ketika Piala Dunia 2022.

PENYERANG Colombia, Luis Diaz, bercakap kepada pemberita semasa sesi latihan di Stadium Metropolitano de Techo menjelang Piala Dunia FIFA 2026 di Bogota pada 29 Mei 2026. Foto AFP

Bagaimanapun, Martinez terus memberikan kepercayaan penuh kepada Ronaldo dan keputusan itu mempunyai justifikasi yang kukuh.

Beliau menjaringkan gol pada suku akhir, separuh akhir dan final ketika Portugal menewaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjuarai Liga Negara-Negara tahun lalu.

Ronaldo turut meledak lima gol dalam lima perlawanan kelayakan sebelum dilayangkan kad merah ketika menentang Republik Ireland.

Sekiranya melibatkan pemain lain, hukuman yang lebih berat mungkin dikenakan sehingga menyebabkan mereka terlepas aksi awal kejohanan.

Namun, Ronaldo hanya dikenakan penggantungan satu perlawanan.

Sokongan berterusan Martinez terhadap Ronaldo turut mencerminkan kekurangan pilihan penyerang yang benar-benar meyakinkan dalam skuad Portugal.

Kekuatan sebenar Portugal terletak pada barisan tengah yang dianggap antara terbaik di Piala Dunia.

Gandingan pemain Paris Saint-Germain (PSG), Vitinha dan Joao Neves, dijangka mengemudi jentera tengah bersama Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris, Bruno Fernandes serta Bernardo Silva.

Diaz Kini Bintang Utama Colombia

Colombia pula masih dipimpin oleh wira veteran mereka, James Rodriguez, 12 tahun selepas kejohanan yang melonjakkan namanya sebagai bintang dunia.

Walaupun karier kelabnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu menyerlah dan sering bertukar pasukan, pemain berusia 34 tahun itu masih menjadi tonggak penting Colombia yang mara ke final Copa America dua tahun lalu serta menamatkan kempen kelayakan Zon Amerika Selatan di tempat ketiga.

Kini, Luis Diaz muncul sebagai pemain paling berpengaruh dalam skuad Los Cafeteros dan hadir ke Piala Dunia selepas melalui musim terbaik dalam kariernya bersama Bayern Munich.

Tiket perlawanan Colombia antara yang paling mendapat sambutan dalam kejohanan itu dan mereka dijangka menerima sokongan padu daripada penyokong yang sanggup merantau serta komuniti rakyat Colombia di luar negara.

Situasi itu menjadikan tugas Uzbekistan dan DR Congo untuk mencipta kejutan ke atas dua pasukan pilihan kumpulan tersebut lebih mencabar.

Pertahanan Manchester City, Abdukodir Khusanov, merupakan nama paling menonjol dalam skuad Uzbekistan yang sebahagian besarnya dibarisi pemain yang beraksi dalam liga domestik.

Namun, Uzbekistan memiliki pengalaman juara dunia di bangku kejurulatihan menerusi Fabio Cannavaro yang pernah mengetuai Itali menjuarai Piala Dunia 2006. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Empat beregu tersingkir, cabaran Malaysia di Terbuka Singapura tamat di suku akhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.