
LONDON: Cristiano Ronaldo kekal berada di Arab Saudi bersama kelab Al Nassr untuk menjalani pemulihan kecederaan walaupun terdapat laporan bahawa jet peribadinya telah meninggalkan negara itu susulan konflik di Asia Barat, lapor PA Media/dpa.
Dilaporkan pada Selasa bahawa sebuah jet milik pemain berusia 41 tahun itu telah berlepas dari Arab Saudi pada Isnin.
Arab Saudi, bersama negara Teluk lain yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di tanah mereka, telah menjadi sasaran serangan balas daripada Iran susulan serangan ketenteraan yang dilancarkan AS dan Israel pada Sabtu.
Bagaimanapun, Ronaldo tetap berada di negara itu, dengan kelabnya Al Nassr mula-mula menyiarkan imej bintang Portugal itu sedang berlatih menjelang perlawanan di laman sendiri menentang Neom pada Sabtu, dan kemudian mendedahkan bahawa beliau perlu berehat akibat kecederaan hamstring yang dialami selepas menewaskan Al Fayha pada perlawanan hujung minggu.
Perlawanan menentang Neom dijadualkan di Riyadh, yang dilaporkan pada Selasa Kedutaan AS telah diserang oleh dron Iran.
Di Emiriah Arab Bersatu, pemain terpaksa meninggalkan gelanggang dalam acara tenis ATP Challenger selepas serangan dron di terminal minyak berhampiran susulan ketegangan serantau yang meningkat.
ATP kemudian mengesahkan perlawanan di Fujairah Challenger telah digantung untuk hari itu selepas amaran keselamatan.
“Selaras dengan protokol keselamatan yang ditetapkan, perlawanan dihentikan serta-merta dan pemain, pegawai serta kakitangan diarahkan ke kawasan selamat yang ditetapkan,” kata jurucakap ATP.
“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pemain, kakitangan dan petugas kejohanan adalah keutamaan kami. Selepas perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan dan penasihat keselamatan, perlawanan dibatalkan untuk baki hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami terus memantau situasi dengan teliti dan akan memberikan maklumat lanjut mengikut kesesuaian.” – Bernama-PA Media/dpa