
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menunjukkan jersi dengan mesej keamanan daripada bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.
ALBERTA, Kanada: Cristiano Ronaldo menghantar mesej keamanan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerusi jersi bola sepak yang ditandatangani legenda Portugal itu.
Jersi berkenaan diserahkan melalui ketua Majlis Eropah, Antonio Costa yang berasal dari Portugal.
“Kepada Presiden Donald J Trump. Bermain untuk keamanan,” tulis Ronaldo di belakang jersi bernombor tujuh berserta tandatangannya.
Mesej berkenaan dihantar ketika Israel mencetus peperangan baharu dengan menyerang Iran.
Trump ketika menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Kanada berjanji akan membantu negara-negara bertelingkah mencapai persetujuan untuk gencatan senjata.
“Kita akan mencapai KEAMANAN dalam masa terdekat, antara Israel dan Iran! Perbincangan sedang berlangsung sekarang,” kata Trump. – AGENSI