Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo dibuang padang menentang Ireland tetapi telah pun menjalani satu perlawanan penggantungan dan boleh bermain dalam peringkat kumpulan Piala Dunia. Foto AFP
LISBON: Bintang Portugal Cristiano Ronaldo dibenarkan bermain dalam perlawanan awal Piala Dunia 2026 selepas badan bola sepak dunia FIFA memberikan hukuman penggantungan yang sebahagiannya “digantung” susulan kad merah yang diterimanya.
Pemain berusia 40 tahun itu telah dibuang padang ketika Portugal tewas 2-0 di Dublin awal November lalu selepas beliau menyiku Dara O’Shea dari belakang — kad merah pertama dalam 226 penampilan antarabangsa.
FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan terhadap Ronaldo, namun dua daripadanya digantung, manakala satu lagi telah pun selesai dijalani ketika Portugal mengesahkan kelayakan ke kejohanan musim panas depan menentang Armenia.
“Selaras dengan artikel 27 Kod Disiplin FIFA, baki dua perlawanan penggantungan itu digantung di bawah tempoh percubaan selama setahun,” kata FIFA dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Jika Cristiano Ronaldo melakukan satu lagi kesalahan yang sama sifat dan tahap keseriusannya dalam tempoh percubaan, penggantungan yang digantung itu akan dibatalkan secara automatik dan baki dua perlawanan perlu dijalani serta-merta dalam perlawanan rasmi (Portugal) berikutnya.”
Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa lelaki dengan 143 gol, berhasrat bermain di Piala Dunia keenamnya pada musim panas tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu, yang kini bersama Al Nassr di Arab Saudi, belum pernah menjulang trofi Piala Dunia tetapi memenangi Euro 2016 bersama Portugal.
Ronaldo turut menghadiri satu majlis makan malam di White House minggu lalu, di mana beliau bertemu Presiden AS Donald Trump, yang berkata anaknya Barron “adalah peminat besar” pemain itu.
Majlis undian peringkat kumpulan Piala Dunia akan berlangsung pada 5 Disember. – AFP