Ronaldinho kembali buru gol ke-300

Facebook
WhatsApp
PEMAIN bola sepak Brazil yang baharu direkrut, Ronaldinho, berdiri di atas pentas sambil memegang jersi Ravenna FC ketika sesi pengenalan pasukan di Marina di Ravenna pada 20 Ogos 2026. Foto AFP

RAVENNA, Itali: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho, yang bersara daripada arena bola sepak pada 2015, mengumumkan kemunculan semula selepas 11 tahun dengan menyertai kelab divisyen ketiga Itali, Ravenna, dalam usaha memburu “gol ke-300” sepanjang kariernya.

Pemain berusia 46 tahun itu, yang membantu Brazil menjulang Piala Dunia 2002 dan memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2005, menamatkan karier cemerlangnya selepas membuat penampilan rasmi terakhir bersama kelab Brazil, Fluminense, pada September 2015.

“Saya amat gembira berada di sini bersama rakan-rakan. Kami memiliki sebuah pasukan yang mampu mencapai sesuatu yang baik,” kata bekas pemain tengah Paris Saint-Germain, Barcelona dan AC Milan itu ketika sesi pengenalan dirinya di sebuah pantai di Ravenna.

“Adakah anda akan melihat saya beraksi? Saya tidak tahu, hanya jurulatih yang mengetahuinya. Kembali ke Itali adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya berada di sini untuk membantu rakan sepasukan meraih kemenangan.

“Seperti yang anda lihat, saya berada dalam keadaan baik dan berasa cergas… Jika saya berjaya menjaringkan gol ke-300, ia pasti menjadi sesuatu yang lebih bermakna.”

Kemunculan semula Ronaldinho diumumkan pada Jun lalu di Miami ketika berlangsungnya Piala Dunia oleh Ignazio Cipriani, ahli perniagaan Itali-Amerika yang memiliki kelab berkenaan sejak 2024.

“Matlamatnya bersifat romantik, iaitu untuk cuba menjaringkan gol terakhirnya,” kata Cipriani pada Khamis.

“Penglibatan beliau bukan sekadar satu tindakan simbolik atau gimik pemasaran untuk menarik perhatian terhadap kelab ini.”

Cipriani turut memaklumkan bahawa Ronaldinho, yang menjaringkan 33 gol dalam 97 penampilan bersama skuad kebangsaan Brazil, akan menjadi pemegang saham kelab itu, namun tidak akan diturunkan ketika menentang Reggiana dalam aksi pembukaan musim Serie C pada Isnin.

Ravenna menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan B kejohanan divisyen ketiga musim lalu dan menyasarkan untuk kembali beraksi dalam Serie B, liga yang tidak pernah disertai mereka sejak 2008. – AFP