NICOLA Zaniolo membantu Roma memenangi trofi Eropah utama pertama semalam dengan menjaringkan gol tunggal sekali gus menang 1-0 ke atas Feyenoord dalam final sulung Liga Conference Europa .
Pemain antarabangsa Itali, Zaniolo menjaringkan gol dengan penyudah baik pada minit ke-32 untuk memberikan Roma trofi pertama sejak 2008 dan menamatkan musim pertama yang berjaya untuk jurulatih Jose Mourinho di Rom.
Mourinho terharu dengan piala kontinental kelimanya sebagai jurulatih, yang pertama untuk pasukan dari Itali sejak dia membawa Inter Milan ke kegemilangan Liga Juara-Juara UEFA 12 tahun lalu.
“Ia adalah perjuangan sebenar tetapi saya sangat gembira,” kata Zaniolo kepada Sky.
“Ia adalah impian saya dan sekarang saya telah melakukannya.”
Roma, pemenang Piala Fairs pada tahun 1961, menunggang nasib mereka dengan Feyenoord mempunyai sebahagian terbesar permainan dan dua kali melakukan percubaan mereka tekena palang dalam babak kedua.
Tetapi mereka tetap kukuh dalam menghadapi penguasaan kelab dari Belanda dan membawa kegembiraan kepada salah satu pangkalan peminat yang paling bersemangat di Eropah.
Lebih 50,000 peminat memenuhi Stadio Olimpico di ibu negara Itali untuk menyaksikan pasukan mereka mencipta secebis sejarah di Albania dan menyerbu mnasuk ke padang sebaik trofi berjaya diraih.
Sementara itu, sebahagian kecil penyokong yang dibenarkan masuk ke Stadium Nasional Tirana meraung gembira apabila pengadil Istvan Kovacs meniup wisel untuk menamatkan kemarau trofi pasukan mereka.
“Kami tahu bahawa selepas kemenangan menakjubkan ini, ia sentiasa sukar untuk bermula semula tetapi pasukan sebenar menang, meraikan dan kemudian bangkit semula,” kata kapten kelahiran Rom, Lorenzo Pellegrini.
Bagi juara Eropah 1970, Feyenoord, ia adalah kekalahan pertama mereka dalam final Eropah serta kekalahan pertama dalam pertandingan untuk pasukan Arne Slot. – AFP