

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM7.288 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini, bulan lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata rampasan tersebut melibatkan 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras yang dipercayai disimpan bagi tujuan pengedaran di pasaran tempatan.
Menurut beliau, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarikei hasil maklumat risikan Ibu Pejabat, sekitar 9.15 malam pada 19 Disember 2025, di sebuah premis kediaman di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H, Sibu.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua barangan tersebut disyaki tidak berkastam dan merupakan barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Nilai sitaan rokok dan minuman keras dianggarkan berjumlah RM1.209 juta, manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat pula dianggarkan sebanyak RM6.079 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyimpan rokok dan minuman keras tidak berkastam di premis kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Tambahnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barangan larangan import.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Dalam pada itu, Norizan menggesa orang ramai agar terus bekerjasama dengan JKDM bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya melibatkan rokok dan minuman keras, yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.
Oleh Tarani Lanting