KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-11 menahan seorang lelaki berumur 39 tahun dan merampas rokok dan arak seludup bernilai RM238,000 pada petang Isnin dalam operasi Ops Libas di Daerah Bau.
Komander PGA Batalion Ke-11, Superintenden Rosdi Inai berkata, 300 karton kretek dan 412 kotak arak yang disembunyi di dalam bangunan dirampas.
Pemilik premis gagal menunjuk sebarang dokumen untuk pengesahan barangan yang dirampas.
Pada masa sama, pemilik kemudian cuba menyogok pasukan PGA dengan wang tunai RM3,000 supaya tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.
Suspek kemudian diberkas kerana cubaan menyogok.
Barangan seludup dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi jalan darat untuk pasaran di sini dan Bau.
Operasi ini dilakukan oleh 11 orang pegawai dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1.20 petang setelah maklumat diterima berkenaan kes ini.
Kes ini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis daerah Bau di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda 10 kali ganda dari nilai barangan yang dirampas dan maksimum 20 kali ganda atau penjara tiga tahun.
Suspek juga disiasat oleh SPRM untuk cubaan menyogok di bawak Akta SPRM.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh didenda lima kali ganda dari nilai sogok atau 20 tahun penjara.
Oleh Connie Chieng