

TANGKAP layar dari siaran langsung SpaceX ini menunjukkan roket SpaceX Starship dilancarkan dari Starbase, Texas, pada 27 Mei 2025. SpaceX melancarkan ujian penerbangan terbarunya bagi roket mega Starship — komponen penting dalam cita-cita pengasasnya, Elon Musk, untuk ke Marikh — selepas dua pelancaran terdahulu berakhir dengan letupan. Foto AFP
WASHINGTON: Roket Starship milik SpaceX meletup ketika menjalani penerbangan ujian kesembilan pada Selasa, meneruskan cabaran syarikat Elon Musk yang berusaha meraih kejayaan selepas dua kegagalan misi awal tahun ini, menurut Anadolu Ajansi.
“Seolah-olah ujian penerbangan ini belum cukup mendebarkan, Starship mengalami kegagalan struktur secara tiba-tiba atau ‘rapid unscheduled disassembly’. Pasukan kami akan terus meneliti data dan bersedia untuk ujian penerbangan seterusnya.
“Dalam ujian seperti ini, kejayaan diukur melalui pelajaran yang diperoleh dan ujian hari ini akan membantu kami meningkatkan kebolehpercayaan Starship…,” kata SpaceX dalam kenyataan di platform X.


ROKET SpaceX Starship dilancarkan dari Starbase, Texas, seperti yang dilihat dari Pulau South Padre pada 27 Mei 2025. Menurut pegawai, pusat kawalan misi SpaceX telah kehilangan hubungan dengan peringkat atas roket Starship apabila ia mengalami kebocoran bahan api, hilang kawalan akibat berpusing, dan memasuki semula atmosfera secara tidak terkawal selepas terbang separuh mengelilingi dunia, berkemungkinan hancur di atas Lautan Hindi. Foto AFP
Roket setinggi 400 kaki itu berlepas pada 7.37 malam waktu Timur (2337GMT) dari tapak pelancaran SpaceX Starbase di Boca Chica, Texas, selepas mendapat kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Ujian itu dijalankan susulan penambahbaikan yang dibuat selepas kegagalan peringkat atas roket pada Januari dan Mac lalu.– Bernama-Anadolu