KUCHING: Dato Sri Rohani Abdul Karim memberi sokongan kepada calon Bandar Kuching (GPS-SUPP) Eric Tay Tze Kok dengan mengadakan kunjungan ke pejabat cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini malam tadi.
Rohani yang juga Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Padungan berkata, Eric Tay adalah calon yang tepat untuk mewakili Bandar Kuching sebagai calon muka muda baharu kerana beliau mampu melaksanakan manifestonya untuk masyarakat di Kuching.
Beliau percaya Tay boleh menawan semula Bandar Kuching daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sudah mewakili kerusi itu sejak 18 tahun lalu tetapi gagal membawa banyak perubahan.
Eric Tay katanya, sebagai calon muda dan berpendidikan mempunyai idea-idea baharu untuk dikongsikan dengan pengundi di bandar raya Kuching yang akan memberi manfaat kepada orang ramai secara keseluruhan.
Beliau turut menggesa pengundi supaya bijak membuat pilihan dengan memberi peluang kepada Tay yang mewakili GPS untuk memperjuangkan nasib mereka di Parlimen.
“GPS akan sentiasa berada di belakang Tay untuk merealisasikan manifestonya.
“GPS memerlukan suara yang lebih kuat di Parlimen supaya mereka boleh mendapatkan semula hak yang terhakis dalam Perjaniian Malaysia 1963 (MA63) untuk Sarawak.
“Bayangkan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak memberi kesan positif kepada rakyat Sarawak, terdapat keperluan mendesak untuk perubahan demi Kuching dan Sarawak,” katanya.
Rohani berkata GPS sedang berjuang keras untuk melihat kemenangan 31 kerusi Parlimen di Sarawak kerana pertarungan ini penting untuk GPS berjuang secara bebas.
Tay berdepan penyandang Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-DAP) dan Pengerusi PSB, Voon Lee Shan dalam saingan tiga penjuru.
Petang semalam, Tay melancarkan manifesto dan ikrarnya untuk menangani isu banjir di bandar yang menjejaskan sektor perniagaan dengan teruk dan membina semula infrastruktur yang semakin teruk di bandar raya ini.
Oleh CONNIE CHIENG