Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Rohani genggam PhD pada usia 81 tahun
  • NASIONAL

Rohani genggam PhD pada usia 81 tahun

Utusan Sarawak 8 months ago
SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), Christine Longuet atau Rohani Abdullah pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 Tahun 2024 di Universiti Malaysia Terengganu hari ini. FotoBERNAMA

KUALA NERUS: Ternyata usia bukan penghalang bagi Christine Longuet atau Rohani Abdullah apabila berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Anak kelahiran Paris, Perancis berusia 81 tahun itu berkata beliau menghabiskan masa 10 tahun untuk menyiapkan tesis bertajuk Tempat, Tumbuhan dan Masyarakat di Terengganu: Penilaian Berdasarkan Dua Era.

“Saya memulakan penulisan tesis pada 2013. Kajian yang melibatkan dua era ini secara tidak langsung memerlukan perbandingan yang sistematik serta masa yang panjang.

“Ada masa saya hampir berputus asa, tetapi saya bersyukur kerana adanya sokongan padu daripada arwah suami Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah dan anak, penyelia muda yang berpengalaman, di samping bantuan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sendiri,” katanya.

PENERIMA ijazah Doktor Falsafah (PhD), Christine Longuet atau Rohani Abdullah tersenyum menunjukkan skrol yang diterima pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 Tahun 2024 di Universiti Malaysia Terengganu hari ini.

Rohani yang menggenggam PhD dalam bidang etnobotani atau ekologi manusia itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai cabaran dihadapi dalam menyiapkan tesis berkenaan termasuk faktor kesihatan, masalah keluarga, persekitaran dan Covid-19.

Rohani yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah dari Sorbonne University, Perancis berkata beliau juga berhasrat menulis buku biografi mengenai dirinya untuk tatapan serta warisan keluarga dan bercadang menerbitkan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Perancis.

“Saya mahu anak cucu tahu dari mana mereka datang. Tidak hanya sejarah, saya juga ingin berkongsi ilmu yang saya ada dalam buku itu untuk manfaat masyarakat.

“Saya telah menulis beberapa buku sebelum ini antaranya Amabah An Architect’s Journey (2013) dan The Visible Trail of Chang Fee Ming (2000),” katanya yang turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2006.

CHRISTINE Longuet atau Rohani Abdullah bergambar bersama ahli keluarganya.

Berkongsi kisahnya, Rohani berkata beliau datang ke Terengganu pada 1971 untuk menempah kapal layar dan mengembara ke lautan Pasifik.

Bagaimanapun, wanita kepada lapan anak, 27 cucu dan 14 cicit itu akhirnya memutuskan untuk menetap di bumi Darul Iman pada 1975 setelah jatuh hati dengan industri kapal layar, budaya tempatan serta seni bina Melayu yang menarik.

“Pada 1982 saya membuat kajian mengenai perubatan tradisional Terengganu untuk beberapa firma dan institut di Perancis.

“Antara artikel yang telah saya hasilkan bertajuk Kulit Manis: A Taste of Terengganu’s Heritage, Menelusuri Jati Diri; Chapter Perahu Pinis: Peranan Tukang Dalam Penciptaan Kapal Layar di Terengganu dan Malaysie Contemporaine, La disparition de habita traditional dans le Trengganu,” katanya.

– Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto
Next: Kepengerusian ASEAN: KPT rangka agenda perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.