
SIBU: Seorang pemuda dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun berserta tiga sebatan setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lepas.
Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Samuel Mahmud, 27, setelah beliau mendapati pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan, meneliti hujah bertulis yang difailkan serta membaca dan mempertimbangkan keseluruhan kes ini, pihak mahkamah berpuas hati dan mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
“Sehubungan itu, mahkamah ini mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas pertuduhan tersebut,” katanya ketika membaca keputusan kes setelah perbicaraan penuh, hari ini.
Selepas mempertimbangkan fakta kes, rayuan dan kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, dimana tertuduh diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditahan, 27 November 2024, berserta tiga sebatan.
Samuel yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya merayu dikenakan hukuman ringan selain memberitahu baru berusia 27 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Cynthia Emmelda Jerry, memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai langkah pencegahan setelah mengambil kira kekerapan kes, selain mangsa berumur di bawah 16 tahun ketika kejadian.
“Mangsa telah menjadi mangsa kepada tertuduh demi memuaskan nafsunya, yang akan menjadi trauma berpanjangan serta tidak dapat dilupakan mangsa sepanjang hidupnya.
“Perbuatan keji itu juga tidak hanya memberi kesan kepada mangsa, tetapi juga kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang turut terjejas dengan jenayah yang dilakukan oleh tertuduh,” ujarnya.
Berdasarkan pertuduhan, Samuel didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Maju pada 11 November 2024, kira-kira 9.30 malam.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun keseksaan, dimana sabit kesalahan hendaklah dipenjara tidak kurang 10 tahun serta tidak lebih 30 tahun dan juga sebatan.
Oleh Akun Giman