
BIRMINGHAM, United Kingdom: Aston Villa mengukuhkan cabaran mengejut mereka dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila dua jaringan cemerlang Morgan Rogers memastikan kemenangan 2-1 ke atas Manchester United di Villa Park, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Unai Emery mendahului menerusi rembatan menakjubkan Rogers pada lewat babak pertama.
United menyamakan kedudukan seketika kemudian melalui Matheus Cunha, namun Rogers kembali mencuri tumpuan dengan gol keenamnya dalam enam penampilan liga berturut-turut selepas rehat, sekali gus menghadiahkan Villa kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Villa yang kini di tangga ketiga hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Arsenal dan satu mata di belakang Manchester City ketika mereka memburu gelaran liga Inggeris pertama sejak 1981.
Rentetan kemenangan ini merupakan yang terbaik buat Villa dalam semua pertandingan sejak 1914, ketika mereka merakam 11 kemenangan berturut-turut.
Mereka juga memenangi tujuh perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak musim 1989-90, musim yang menyaksikan Villa menamatkan saingan di tempat kedua di bawah Graham Taylor.
Kebangkitan Villa ke dalam perebutan kejuaraan lebih mengagumkan memandangkan ia berlaku selepas permulaan terburuk mereka dalam 28 tahun, apabila sekadar mengutip dua mata dan menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan awal liga.
Emery turut menjadikan Villa Park sebagai kubu kebal.
Villa hanya tewas sekali di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang 2025 – paling sedikit berbanding mana-mana pasukan.
Arsenal sudah pun tumbang di sini musim ini, dan United, yang sebelum ini hanya kalah sekali dalam 26 kunjungan ke Villa, juga gagal mengekang kebangkitan tuan rumah.
United yang berada di tempat ketujuh menelan kekalahan kedua dalam 11 perlawanan liga terakhir mereka, selain gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut selepas seri 4-4 menentang Bournemouth pada Isnin.
Menambah derita, kapten pasukan Bruno Fernandes terpaksa dikeluarkan pada separuh masa akibat kecederaan hamstring.
Kecederaan itu hadir pada waktu paling tidak sesuai buat pengendali United, Ruben Amorim, yang sudah kehilangan tujuh pemain.
Harry Maguire, Matthijs de Ligt dan Kobbie Mainoo cedera, Casemiro digantung perlawanan, manakala Amad Diallo, Bryan Mbeumo dan Noussair Mazraoui beraksi di Piala Negara-Negara Afrika.
Fernandes sebelum ini mendedahkan United “mahu saya pergi” ketika Al-Hilal mengemukakan tawaran pada musim panas lalu.
Pemain tengah Portugal itu menolak perpindahan ke Arab Saudi, namun United kini berdepan realiti ketiadaannya jika kecederaan tersebut berlarutan.
United hampir mendahului apabila Benjamin Sesko mara ke dalam kawasan Villa, tetapi kelewatan tindakannya memberi ruang kepada penjaga gol Emiliano Martinez untuk keluar pantas dan menyekat percubaan tersebut.
Villa membuka tirai jaringan menerusi serangan balas sempurna pada minit ke-45.
Hantaran tepat John McGinn membolehkan Rogers memecut di sayap kiri sebelum melepasi Leny Yoro dan melengkungkan penyudah indah ke penjuru jauh.
United menyamakan kedudukan di penghujung separuh masa pertama selepas kesilapan Matty Cash yang leka mengawal bola dihukum oleh Patrick Dorgu, sebelum Cunha menyempurnakan peluang dari sudut sempit.
Kehilangan Fernandes pada babak kedua memberi tamparan hebat, dan Rogers sekali lagi mempamerkan keazaman tinggi pada minit ke-57.
Mendahului Yoro untuk mendapatkan bola di dalam kotak penalti, Rogers menyudahkan dengan tenang melepasi Senne Lammens dari jarak 12 ela.
Emery meraikan jaringan itu dengan penuh emosi, melaungkan kegembiraan sambil melambung jaketnya ke udara.
Kegembiraan itu hampir terpadam apabila Diogo Dalot dan Dorgu menguji Martinez, namun penjaga gol Argentina itu cemerlang mempertahankan kelebihan Villa.
Cunha kemudian mensia-siakan peluang lebih baik apabila tandukannya tersasar daripada hantaran Dorgu.
Amorim memberi peluang debut kepada Jack Fletcher, anak kepada bekas pemain tengah United Darren Fletcher,
namun penampilan pertama remaja itu berakhir dengan kekecewaan. – AFP