
GEDONG: Seramai 40 orang ketua kampung mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing dari Zon Ulu Gedong dan Zon Pangkor menerima cek peruntukan berjumlah keseluruhan RM120,000 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, hari ini.
Majlis penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang menyifatkan penyampaian dana itu sebagai usaha memperkasakan peranan kepimpinan akar umbi dan menyokong pembangunan komuniti setempat di bawah konstituensi Daerah Gedong.
Dalam ucapan ringkasnya, Rodiyah menjelaskan bahawa dana yang disalurkan bertujuan untuk membolehkan pelaksanaan pelbagai aktiviti masyarakat, termasuk sambutan perayaan Hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi selain program-program pembangunan komuniti secara kecil-kecilan.
“Peruntukan ini adalah untuk memastikan kampung-kampung di bawah Zon Ulu Gedong dan Zon Pangkor dapat menjalankan aktiviti yang merapatkan hubungan komuniti memperkasakan pertubuhan dan persatuan setempat serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam program yang memberi manfaat langsung kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya pengurusan dana secara telus dan berkesan oleh para ketua kampung agar setiap dana yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan penduduk di kawasan masing-masing.
“Saya berharap agar semua penerima dapat menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin kerana dana ini bukan sahaja untuk menyokong aktiviti kemasyarakatan tetapi juga mencerminkan kepercayaan kerajaan kepada kepimpinan di peringkat akar umbi untuk terus berperanan aktif dalam pembangunan sosial dan ekonomi setempat,” tegas beliau.
Program agihan dana tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin masyarakat dan pihak kerajaan dalam memastikan keperluan rakyat di peringkat kampung sentiasa diberi perhatian.
Turut hadir Wakil Pusat Khidmat Gedong, Awang Abdul Rahman Awang Hamid, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong, Maharthir Oyak dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Gedong, Hasanah Majais. -UKAS