GEDONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee merangka ‘misi khas’ untuk membawa pembangunan di kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Calon muka baharu yang ditampilkan GPS itu berkata, sokongan masyarakat setempat terhadapnya sebagai calon di kawasan Parlimen Batang Sadong sangat memuaskan.
Katanya, beliau secara berterusan menyantuni penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya, DUN Simunjan dan DUN Gedong untuk bertemu pengundi dengan lebih dekat.
“Setakat ini dianggarkan kira-kira 30 hingga 40 peratus kawasan Batang Sadong telah saya kunjungi yang merangkumi tiga DUN itu.
“Pendekatan kempen bersama rakyat akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui UKAS semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua pengundi di kawasan Parlimen Batang Sadong turun mengundi pada 19 November bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.
Hadir sama wakil tugas khas ADUN Gedong, Datuk Naroden Majais, Temenggong Iban Bahagian Samarahan Geoffery Mamat Kuchai, Pemanca Sarika Muda, Penghulu Najib Arbi dan Ketua-Ketua Kampung di kawasan Zon Ulu Gedong.