RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Rodiyah Sapiee, 44, akan berusaha mempertahankan hak Sarawak di Dewan Rakyat jika menang kerusi Parlimen Batang Sadong, 19 November ini.
Beliau juga akan meneruskan segala perancangan pembangunan oleh penyandang kerusi itu, Dato Sri Nancy Shukri sejak 2008.
“Saya akan terus memperjuangkan apa yang telah diusahakan oleh Dato’ Sri Nancy sebelum ini dan akan bekerjasama untuk mempertahankan hak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima watikah pencalonan daripada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, hari ini.
Rodiyah berkata, beliau juga akan bekerjasama rapat dengan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Batang Sadong bagi memberi yang terbaik untuk masyarakat di situ.
Rodiyah memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraam Awam dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Kini, beliau bertugas sebagai Pengurus, Pengurusan Risiko di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 2004.
Beliau yang berasal dari Tanjung Harapan, Simunjan mempunyai ahli keluarga di Gedong dan Sadong Jaya serta mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan dan kejuruteraan serta aktif melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat.
Difahamkan, Rodiyah juga mendapat sokongan penuh bekas ADUN Simunjan, Datuk Mohd Naroden Majais.
Pada PRU-14, Nancy Shukri memenangi kerusi itu atas tiket Barisan nasional (BN) dengan 14,208 undi, mengalahkan Othman Mustapha @ Mos dari Parti Keadilan Rakyat dan Asan Singkiro dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).