PETRA JAYA: Rocketeer Custom Art bakal menjadi antara tarikan utama pada Minggu Motosikal Antarabangsa Bandar Raya Kuching (Cat City International Bike Week, CCIBW) 2026 menerusi pameran hasil seni motosikal yang menampilkan sentuhan seni airbrush serta budaya pengubahsuaian motosikal.
Pengasasnya, Mohamed Shukur Mohamed, berkata penyertaan sulung beliau di CCIBW bukan sekadar membuka ruang mempromosikan jenama Rocketeer Custom Art, malah menjadi platform memperkenalkan budaya pengubahsuaian motosikal serta seni airbrush kepada lebih ramai peminat di Sarawak.
Beliau berkata, pihaknya merancang membawa beberapa motosikal yang menampilkan hasil seni airbrush ke reruai Rocketeer Custom Art bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat karya yang pernah mengharumkan nama Sarawak di pentas Art of Speed Malaysia.
“Insya-Allah kami akan membuka sebuah booth (reruai). Kami juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan demonstrasi seni airbrush sekiranya keadaan dan jadual sepanjang penganjuran CCIBW 2026 mengizinkan.
“Ini peluang yang baik untuk memperkenalkan seni airbrush dan budaya pengubahsuaian motosikal kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang meminati bidang ini tetapi belum pernah melihat sendiri proses penghasilannya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak sempena promosi CCIBW 2026.
Menurut beliau, kehadiran artis di sebalik penghasilan motosikal yang dipamerkan mampu memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap kreativiti dan nilai seni dalam bidang pengubahsuaian motosikal.
Selain mempamerkan hasil karya, Rocketeer Custom Art turut merancang menjual pelbagai barangan rasmi seperti baju, topi, pelekat, rantai kunci dan helmet yang dihiasi dengan rekaan tersendiri.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian helmet kepada pengunjung yang membawa helmet sendiri sepanjang acara berlangsung.
Bagi menghargai sokongan pelanggan, Mohamed Shukur berkata pembelian barangan terpilih di reruai berkenaan akan disertakan dengan pelbagai promosi termasuk diskaun serta baucar yang boleh digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan seni airbrush di premis Rocketeer Custom Art.
Mohamed Shukur mula berkecimpung dalam dunia seni lukis dan airbrush motosikal sejak 2014 sebelum mengharumkan nama Sarawak di pentas Art of Speed Malaysia menerusi pelbagai kejayaan hasil kerjasama dengan rakan-rakan dalam industri.
Antara pencapaian beliau ialah meraih tiga anugerah menerusi projek Honda Africa Cub pada Art of Speed Malaysia 2023 iaitu Anugerah Reka Bentuk Livery Terbaik (Best Livery Design Award), Anugerah Pilihan Hikari Rider (Hikari Rider Guess Pick Award) dan Anugerah Pilihan Mill Art (Mill Art Guess Pick Award), selain projek Sang Keringkam yang memenangi Anugerah Ada Gaya (Ada Gaya Award) dan Anugerah Pilihan Borneo Kustom Show (Borneo Kustom Show Guess Pick Award) serta tersenarai sebagai finalis kategori Cat Terbaik (Best Paint).
Pada Art of Speed Malaysia 2024, projek Si Nguar memenangi Anugerah Ada Gaya (Ada Gaya Award) dan Anugerah Pilihan Borneo Kustom Show (Borneo Kustom Show Guess Pick Award), manakala pada edisi 2025, projek Andromeda dan Mighty Nabau masing-masing tersenarai dalam kategori Chopper Terbaik Bawah 400cc (Best of Chopper Below 400cc) dan Harley Moden Terbaik (Best Modern Harley).
Selain kejayaan di pentas Art of Speed Malaysia, beliau turut meraih pelbagai pengiktirafan tempatan termasuk Anugerah Cat Terbaik (Best Paint Award) pada Bintulu Hobby Convention 2022, Cat Terbaik di Borneo Superbike Gathering 2019, Bobber Amerika Terbaik (Best American Bobber) pada Sibu Bike Week 2018 serta muncul sebagai finalis Kuching International Bike Week 2017.
Beliau berharap dapat membawa beberapa motosikal yang pernah memenangi pertandingan di Art of Speed Malaysia untuk dipamerkan pada CCIBW 2026 agar orang ramai di Sarawak berpeluang melihat sendiri hasil karya tersebut.
“Jika ada rezeki, kami akan membawa motosikal yang pernah menjadi juara di Art of Speed Malaysia untuk dipamerkan di Kuching.
“Ramai orang Sarawak belum pernah melihatnya secara dekat dan kami mahu memberi peluang kepada mereka menikmati sendiri hasil karya itu.
“Kepada semua peminat motosikal dan seni pengubahsuaian motosikal, jangan lupa datang ke reruai Rocketeer Custom Art di CCIBW 2026.
“Kami berharap dapat berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada lebih ramai penggiat bidang ini,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




