KUCHING: Generasi muda yang bijak, kreatif dan berani mencipta perlu dipupuk sejak usia awal bagi membentuk masa depan Kuching sebagai sebuah bandar pintar.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, bandar pintar bukan sekadar bergantung kepada robot, komputer atau kecerdasan buatan (AI), sebaliknya memerlukan masyarakat yang celik teknologi serta mampu memanfaatkannya untuk meningkatkan kualiti hidup.
“Bahagian paling penting dalam sebuah bandar pintar ialah manusia yang bijak. Anda semua merupakan generasi yang akan membentuk masa depan Kuching.
“Setiap ciptaan bermula dengan satu idea. Jangan sesekali menganggap idea anda terlalu kecil atau mustahil kerana imaginasi hari ini mungkin menjadi inovasi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kanak-kanak Bijak, Bandar Raya Pintar, RoboWalk di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), malam ini.
Menurutnya, teknologi mampu membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, memelihara kebersihan alam sekitar, menjimatkan tenaga, meningkatkan perkhidmatan kesihatan serta menjadikan komuniti lebih selamat.
Katanya, program berkenaan bukan sekadar aktiviti berjalan sambil memakai kostum robot, malah memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar, berimaginasi dan meneroka bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti kehidupan.
“Mungkin suatu hari nanti ada antara anda yang mencipta robot untuk membersihkan sungai, membantu warga emas atau menghasilkan teknologi baharu yang dapat mengurangkan pencemaran serta menjadikan bandar kita lebih hijau,” katanya.
Dato Wee berkata, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam membentuk generasi yang berani bertanya, menyelesaikan masalah, bekerjasama serta tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran.
“Jangan takut melakukan kesilapan kerana setiap kesilapan mengajar kita sesuatu, setiap cabaran menjadikan kita lebih kuat dan setiap idea baharu membantu kita terus berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa menyokong serta menggalakkan anak-anak meneroka ilmu pengetahuan baharu.
Katanya, sokongan ibu bapa mampu meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk berani bermimpi lebih besar, manakala dedikasi guru membantu menyediakan generasi muda menghadapi masa depan yang dipacu teknologi dan inovasi.
“Menang dalam pertandingan hari ini sememangnya membanggakan, namun peluang mempelajari sesuatu yang baharu adalah lebih bermakna.
“Sama ada anda menerima hadiah atau tidak, anda tetap merupakan pemenang kerana berani mengambil bahagian, berkreativiti dan mencabar diri sendiri,” katanya.
Oleh Adele Rissa

