
MAR DEL PLATE, Argentina: Sebuah robot meneroka dasar laut dalam yang gelap dan sejuk di Lautan Atlantik Selatan, memaparkan imej batu karang dan ikan berwarna-warni yang belum pernah dilihat sebelum ini, sambil saintis memberi ulasan secara langsung di YouTube.
Rakyat Argentina ternyata tidak jemu menyaksikannya.
Misi saintifik Argentina-Amerika Syarikat itu buat pertama kalinya meneroka Mar del Plata, sebuah jurang dasar laut yang menjunam hampir 4,000 meter (13,000 kaki), di luar pesisir pusat peranginan dengan nama yang sama.
Perbualan penuh kekaguman antara saintis yang mengetuai ekspedisi dan penjelasan yang mereka berikan kepada penonton memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat keajaiban tersembunyi biologi marin.
Dalam satu ketika, kamera pada robot dasar laut SuBastian menunjukkan seekor haiwan kecil berwarna putih yang kelihatan aneh.
Salah seorang saintis dalam pasukan itu kedengaran bertanya kepada rakan-rakannya, “Kita mahukannya?”
“Ya, ya, kita mahukannya!” balas puluhan mesej dalam ruangan sembang siaran langsung itu, sebelum imej menunjukkan peranti penyedut diaktifkan untuk mengambil spesimen itu bagi tujuan kajian.
“Oh, saya suka makhluk kecil ini,” kata seorang pengguna. “Saya taksub!” komen seorang lagi. “Jangan ambil si kecil itu!” rayu pengguna ketiga.
Siaran langsung itu bermula seminggu lalu dan melepasi satu juta tontonan setiap hari sejak Khamis, apabila ia turut mula disiarkan di televisyen.
“Terdapat terumbu karang air sejuk dengan warna yang sama seperti di Caribbean. Bagaimana boleh jadi begitu? Pada kedalaman 3,000 meter!” kata Pablo Penchaszadeh, seorang ahli biologi marin dan pelukis yang turut serta dalam ekspedisi itu sebagai artis, kepada AFP.
Ekspedisi selama 20 hari yang dinamakan Underwater Oases of the Mar del Plata Canyon itu membabitkan 25 saintis – rata-ratanya daripada agensi penyelidikan Argentina, CONICET.
Sebagai sebahagian daripada kumpulan kajian laut dalam GEMPA, dengan sokongan daripada Institut Lautan Schmidt dari Amerika Syarikat (AS), ia akan berakhir pada 10 Ogos.
Di atas kapal ‘Falkor (too)’ milik Institut Lautan Schmidt, saintis mengendalikan robot itu dari jauh, yang mampu turun sehingga kedalaman 4,500 meter (14,700 kaki).
Mereka mengumpul sampel biologi dengan lengan robotik dan instrumen lain, serta menghantar kembali imej berdefinisi tinggi.
“Hakikat bahawa sesiapa sahaja boleh berhubung dari rumah dan melihat apa yang kami lihat secara langsung adalah satu peluang yang unik,” jelas ketua ekspedisi, Daniel Lauretta dalam satu kenyataan.
“Sains bukan lagi sesuatu yang jauh atau tidak boleh diakses, tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.”
Minggu ini, pengguna media sosial terhibur apabila seekor tapak sulaiman jingga dengan dua benjolan simetri yang menyerupai punggung muncul dalam siaran langsung itu. Ia dengan pantas mengundang perbandingan dengan Patrick Star, watak daripada siri animasi popular SpongeBob SquarePants.
Meme tular dengan jenaka bahawa ‘Patrick ialah orang Argentina,’ biologi marin menjadi topik sohor kini di media sosial, dan siaran itu mencapai skrin ratusan ribu penonton yang terpukau.
“Saya datang nak lihat tapak sulaiman punggung besar, ada di sini?” tanya seorang pengguna sebaik memasuki ruangan sembang YouTube.
Penonton turut memberi nama jolokan kepada hidupan laut lain: seekor ketam raja digelar ‘Drag Queen’, dan timun laut dipanggil ‘Ubi Keledek’.
Ini adalah kali pertama mata manusia – walaupun dari jauh – melihat oasis dasar laut ini dalam masa nyata, yang mana arus Malvinas yang sejuk dan kaya nutrien bertemu dengan arus Brazil yang hangat dan masin.
Pertembungan ini adalah “salah satu wilayah paling bertenaga di Lautan global kita,” menurut laman web Institut Schmidt, dengan perbezaan suhu mewujudkan kawasan yang kaya dengan hidupan liar dan flora marin.
“Kami sudah melihat perkara-perkara yang luar biasa: haiwan yang tidak pernah direkodkan di kawasan ini, landskap dasar laut yang kelihatan seperti dari planet lain, dan tingkah laku yang mengejutkan saintis paling berpengalaman sekalipun,” kata Lauretta. – AFP