
KUALA LUMPUR: Prospek pertumbuhan ekonomi negara berkait rapat dengan persekitaran ekonomi global yang dijangka menyederhana dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) berikutan pelbagai cabaran semasa.
Menurut laporan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 bertemakan Melakar Semula Pembangunan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia berkembang pada kadar 3.1 peratus setahun manakala perdagangan global meningkat sekitar tiga peratus setahun dalam tempoh 2026 hingga 2030.
“Pertumbuhan ini dipacu oleh pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun pada kadar empat peratus setahun.
“Pertumbuhan ekonomi yang pesat, terutama di Amerika Selatan, Afrika, negara Timur Tengah dan Eropah Timur mewujudkan peluang perdagangan dan pelaburan baharu pada peringkat global,” jelas laporan itu yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini.
Tindakan balas oleh negara lain terhadap pengenaan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dijangka menjejaskan perdagangan antarabangsa, tambahnya.
Selain itu, ketegangan geopolitik yang berterusan, seperti antara Rusia dengan Ukraine serta Israel dengan Palestin, di samping ketidaktentuan konflik antara India dengan Pakistan serta Iran dan Israel dijangka menjejaskan rantaian bekalan global serta meningkatkan kos pengeluaran dan harga barangan.
Pada masa sama, perubahan berskala besar di peringkat global atau trend mega akan memberi impak yang ketara, bukan sahaja terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, malah juga kepada kesejahteraan rakyat.
Laporan itu menjelaskan antara faktor utama ialah perubahan penguasaan dan landskap blok ekonomi, ketidaktentuan dalam dasar perdagangan dunia, perkembangan teknologi disruptif, peralihan struktur demografi dan krisis kesihatan bumi berpotensi menjadi ancaman yang perlu ditangani.
“Namun, pada masa yang sama trend mega ini juga mencipta peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negara.
“Perang tarif AS pada 2025 memberi tekanan kepada dunia dan perlu ditangani secara strategik bagi mengurangkan impak kepada ekonomi,” menurutnya.
Dalam konteks domestik, Malaysia masih berdepan beberapa isu dan cabaran domestik, antaranya, perubahan struktur ekonomi yang perlahan, pelaburan berkualiti rendah, penerimagunaan teknologi perlahan, ruang fiskal terhad, kebergantungan tinggi kepada import serta pasaran buruh kurang cekap.
Selain itu, mobiliti sosial rendah dan krisis perubahan iklim turut memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat dan ekosistem alam sekitar, jelas laporan.– Bernama