Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • RMK13: Penyelesaian berasaskan keperluan sebenar capai keadilan sosial, kesaksamaan peluang
  • NASIONAL

RMK13: Penyelesaian berasaskan keperluan sebenar capai keadilan sosial, kesaksamaan peluang

Utusan Sarawak 1 day ago

KUALA LUMPUR:  Kerajaan ingin beranjak daripada konsep penyelesaian berasaskan kaum kepada penyelesaian berasas keperluan sebenar bagi mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengumumkan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan infrastruktur untuk semua kaum supaya segenap lapisan rakyat dapat merasai hasil mahsul kemajuan negara.

Bagi menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti Orang Asli, beliau berkata Akta Orang Asli 1954 Akta 134] akan disemak semula terutamanya berkaitan perihal pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur bagi meningkatkan sosioekonomi komuniti itu.

“Semakan dasar akan dibuat bagi membolehkan Orang Asli mendapat manfaat yang setara dan saksama dengan semua,” katanya.

Beliau berkata akses pendidikan kepada Orang Asli turut menjadi keutamaan kerajaan termasuk pemberian terus bantuan persekolahan kepada ibu bapa murid dan memperluaskan sekolah berasaskan komuniti.

Bagi Bumiputera pula, Anwar berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan memberi tumpuan kepada strategi 3P, iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.

Beliau berkata tumpuan juga akan terus diberikan dalam mempersiapkan syarikat Bumiputera untuk disenarai di Bursa Malaysia, antaranya melalui perlumbaan relay yang bertujuan mengupaya dan meramaikan usahawan Bumiputera seawal peringkat syarikat mula niaga hinggalah muncul sebagai syarikat tersenarai.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan memudah cara sokongan institusi kepada usahawan Bumiputera dengan sasaran melahirkan 10 jaguh Bumiputera dalam rantaian bekalan dengan hasrat untuk memajukan setiap syarikat tersebut sehingga bernilai lebih RM500 juta,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak juga akan diperkukuh, antaranya dengan memperluas peluang perniagaan melalui penyediaan premis komersial dan akses kepada bantuan pembiayaan serta program latihan dan bimbingan keusahawanan.

Masyarakat Cina turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru yang akan menyediakan dana pembiayaan untuk kegiatan keusahawanan, termasuk menyedia dan menambah baik tapak penjaja.

Bagi masyarakat India pula, Anwar berkata tumpuan diberikan kepada inisiatif meningkatkan peluang kerjaya melalui pendidikan dan pembangunan bakat termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)  dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Inisiatif baik pulih rumah serta pemantapan tatakelola pengurusan masyarakat India akan turut dilaksanakan,” katanya.

Anwar berkata infrastruktur dan kemudahan awam juga akan ditambah baik untuk meningkatkan akses jaringan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat Cina dan India termasuk wanita, belia dan warga berusia.– Bernama

Continue Reading

Previous: RMK13: Industri pelancongan catat lonjakan, terus diperkasakan
Next: RMK13: Kerajaan perkukuh ekonomi hijau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.