RANCANGAN Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bukan sekadar sebuah dokumen perancangan lima tahun. Ia merupakan pernyataan tentang arah yang mahu dituju negara, masyarakat seperti apa-apa yang ingin kita bina, dan yang lebih penting, penegasan pihak yang seharusnya menerima manfaat sebenar daripada pembangunan tersebut.
Dalam konteks inilah sebuah penyelidikan bertemakan Projek Wacana Awam RMK13 yang dilaksanakan oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar satu siri perbincangan atau konsultasi awam.
Sebuah wacana awam
Wacana ini membawa satu prinsip yang mudah tetapi amat penting, iaitu pembangunan mesti kembali kepada rakyat. Selama ini, kejayaan pembangunan sering digambarkan melalui angka besar seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, jumlah pelaburan yang diluluskan, nilai projek pembangunan, bilangan pekerjaan yang diwujudkan atau jumlah peruntukan kerajaan.
Semua ukuran tersebut penting. Negara memang memerlukan pertumbuhan ekonomi, pelaburan, produktiviti dan infrastruktur. Namun terdapat satu persoalan yang lebih mendasar. Apakah angka-angka tersebut benar-benar diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik?
Bagi seorang pekerja, pembangunan bukan sekadar kadar pertumbuhan ekonomi negara. Pembangunan bererti sama ada gajinya mampu menampung perbelanjaan keluarga.
Bagi seorang ibu, pembangunan bererti sama ada kos makanan, penjagaan anak, pendidikan dan perumahan masih berada dalam kemampuan keluarga. Bagi seorang anak muda pula, pembangunan bererti sama ada pendidikan yang diperolehnya membuka peluang kepada pekerjaan berkualiti dan masa depan yang lebih baik.
Di sinilah wujud kemungkinan jurang antara pembangunan yang dilaporkan dengan pembangunan yang dirasai.
Impian negara dan rakyat
Kerajaan lazimnya melihat negara melalui gambaran besar. Pembuat dasar mempunyai indikator ekonomi, statistik pelaburan, produktiviti, kadar pengangguran dan pelbagai petunjuk pembangunan lain.
Rakyat pula melihat pembangunan melalui pengalaman kehidupan harian yang dilalui!
Apabila kedua-dua perspektif ini tidak bertemu, boleh timbul paradoks pembangunan: ekonomi berkembang tetapi sebahagian rakyat masih merasakan kehidupan semakin mencabar. Sebab itu Projek Wacana Awam RMK13 penting. Ia menyediakan ruang untuk memahami sisi pembangunan yang kadangkala tidak kelihatan dalam statistik.
Kos sara hidup muncul sebagai antara isu yang paling dekat dengan masyarakat. Rakyat mungkin membaca bahawa ekonomi berkembang, tetapi penilaian mereka tetap berasaskan harga makanan di pasar raya, sewa atau ansuran rumah, kos pengangkutan harian, peningkatan kos pendidikan anak-anak dan perbelanjaan kesihatan.
Dalam keadaan sebegini, pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kuasa beli. Persoalannya bukan hanya berapa banyak pekerjaan diwujudkan, tetapi apakah pekerjaan itu menawarkan pendapatan yang munasabah?
Adakah pekerjaan tersebut stabil? Adakah seseorang mempunyai peluang meningkatkan kemahirannya dan bergerak ke tahap ekonomi yang lebih baik?

Lebih sejahtera
Aspek tersebut menunjukkan bahawa RMK13 tidak boleh hanya mengejar penciptaan pekerjaan secara kuantitatif. Negara perlu bergerak kepada agenda pekerjaan berkualiti, upah bermaruah dan mobiliti sosial.
Pendidikan dan kemahiran turut menjadi komponen penting. Dalam ekonomi yang semakin dipengaruhi teknologi, automasi dan kecerdasan buatan, sijil semata-mata tidak lagi mencukupi. Pendidikan mesti membolehkan rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan pasaran pekerjaan.
Lebih penting, pendidikan mesti terus berfungsi sebagai tangga mobiliti sosial. Seorang anak daripada keluarga berpendapatan rendah sepatutnya mempunyai peluang untuk meningkatkan kehidupannya melalui pendidikan, kemahiran dan pekerjaan.
Jika pendidikan gagal memainkan fungsi tersebut, jurang sosial boleh menjadi semakin keras dan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Namun pembangunan Malaysia juga tidak boleh dilihat sebagai pengalaman yang seragam.
Keperluan seorang penduduk Kuala Lumpur tidak sama dengan keperluan masyarakat di pedalaman Sabah atau Sarawak. Di bandar besar, tekanan utama mungkin berkaitan harga rumah, kesesakan, kos penjagaan anak dan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Di kawasan luar bandar atau pedalaman, isu jalan raya, internet, bekalan air, elektrik, sekolah dan akses kepada perkhidmatan kesihatan mungkin jauh lebih mendesak.
Justeru, antara pengajaran besar daripada wacana awam ialah keperluan meninggalkan pemikiran bahawa satu formula boleh digunakan untuk semua tempat.
Negara memerlukan dasar nasional, tetapi pelaksanaannya mesti mempunyai kepekaan wilayah. Dengan kata lain, RMK13 mesti mempunyai satu visi negara tetapi pelbagai jalan pelaksanaan.
Perbezaan wilayah
Sebenarnya perbezaan wilayah bukan kelemahan yang perlu diseragamkan. Sebaliknya, ia merupakan realiti sosial, ekonomi dan geografi yang mesti difahami dalam perancangan pembangunan.
Hal ini membawa kepada satu lagi persoalan besar, iaitu tatakelola.
Sesebuah rancangan pembangunan boleh dirangka dengan sangat baik. Peruntukan boleh diumumkan dalam jumlah yang besar. Program pula boleh mempunyai objektif yang ideal.
Namun bagi rakyat, ukuran akhirnya tetap mudah adakah bantuan sampai? Adakah projek siap? Adakah jalan dibaiki? Adakah permohonan diproses? Adakah perkhidmatan kerajaan mudah diakses?
Di sinilah pelaksanaan menjadi penentu antara kejayaan dan kegagalan sesuatu dasar. Rakyat tidak mengalami dasar melalui dokumen kementerian. Mereka mengalami dasar melalui kaunter kerajaan, sistem permohonan, hospital, sekolah, jalan raya, pengangkutan awam, internet dan pelbagai bentuk perkhidmatan negara.
Jika pengalaman tersebut baik, kepercayaan terhadap institusi meningkat. Jika prosesnya terlalu birokratik, lambat atau tidak jelas, keyakinan masyarakat boleh merosot walaupun dasar asalnya mempunyai niat yang baik.
Maka RMK13 memerlukan bukan sahaja perancangan pembangunan, tetapi juga transformasi pelaksanaan.
Kerencaman dan penyelarasan
Koordinasi antara kementerian dan agensi perlu diperkukuh. Pemantauan projek perlu lebih berorientasikan hasil. Akauntabiliti perlu jelas. Kejayaan tidak boleh sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan tetapi berdasarkan perubahan yang berlaku dalam kehidupan penerima manfaat.
Dalam konteks inilah wacana awam tidak boleh dianggap sebagai program sampingan. Keperluan mendengar rakyat bukan sekadar strategi komunikasi kerajaan. Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada mekanisme pembuatan dan penilaian dasar.
Kadangkala statistik mengatakan sebuah kemudahan telah dibina, tetapi masyarakat mengatakan kemudahan tersebut sukar diakses. Data mungkin menunjukkan program bantuan tersedia, tetapi penerima berpotensi mungkin berhadapan proses permohonan yang rumit.
Keterbukaan
Pengalaman seperti inilah yang hanya dapat diketahui apabila kerajaan membuka ruang mendengar. Malah, kritikan daripada masyarakat tidak seharusnya segera dianggap sebagai penolakan terhadap kerajaan.
Dalam sebuah sistem pentadbiran yang matang, kritikan konstruktif ialah sebahagian daripada mekanisme pembetulan dasar.
Dasar terbaik bukan dasar yang tidak pernah dikritik, tetapi dasar yang mempunyai kemampuan untuk belajar, diperbaiki dan disesuaikan apabila keadaan berubah. RMK13 juga perlu mempunyai ukuran kejayaan yang lebih luas.
Kita tetap perlu mengukur pertumbuhan, produktiviti, pelaburan dan penciptaan pekerjaan. Namun angka tersebut mesti dilengkapkan dengan pertanyaan lain seperti adakah kuasa beli rakyat bertambah?
Adakah pekerjaan lebih berkualiti? Adakah rumah lebih mampu dimiliki? Adakah rakyat mendapat akses kesihatan dan pendidikan yang lebih baik?
Lebih penting lagi, adakah jurang antara bandar dengan luar bandar, antara wilayah serta antara kelompok masyarakat semakin mengecil?
Satu petunjuk yang sering kurang diberikan perhatian ialah keyakinan terhadap masa hadapan.
Masyarakat yang yakin mempunyai harapan. Mereka percaya usaha hari ini boleh menghasilkan kehidupan lebih baik pada masa hadapan. Mereka percaya anak-anak mempunyai peluang untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.
Sebaliknya, apabila rakyat merasakan mobiliti sosial semakin sempit, kos hidup semakin membebankan dan masa depan semakin tidak pasti, kegelisahan sosial boleh muncul walaupun ekonomi mencatatkan pertumbuhan.
Proses membina keyakinan
Atas sebab itu, pembangunan bukan sekadar proses membina infrastruktur. Ia juga proses membina keyakinan. Cabaran terbesar RMK13 akhirnya bukan menghasilkan sebuah dokumen yang kelihatan sempurna.
Malaysia sudah mempunyai pengalaman panjang menghasilkan pelan pembangunan yang komprehensif.
Cabaran sebenar ialah memperkecilkan jarak antara apa-apa yang dirancang di Putrajaya dengan apa yang dirasai di rumah rakyat. Di situlah nilai sebenar Wacana Awam RMK13.
Ia mengingatkan kita bahawa rakyat bukan sekadar penerima pembangunan. Mereka juga sumber pengetahuan tentang pembangunan. Pengalaman mereka merupakan data. Aspirasi mereka merupakan petunjuk. Kesulitan yang mereka hadapi merupakan isyarat tentang bahagian dasar yang perlu diperbaiki.
Kerajaan mesti merancang. Pakar mesti menganalisis. Institusi mesti melaksanakan. Tetapi rakyat mesti terus didengar.
Jika RMK13 berjaya membina hubungan yang lebih kukuh antara pertumbuhan ekonomi, tatakelola yang cekap, keadilan wilayah, pekerjaan berkualiti, pendidikan, perlindungan sosial dan pengalaman sebenar masyarakat, maka ia boleh menjadi lebih daripada sebuah rancangan pembangunan. Ia boleh menjadi rancangan yang mengembalikan makna pembangunan kepada manusia.
Pada akhirnya, ukuran paling jujur terhadap RMK13 bukan berapa banyak projek yang diumumkan atau berapa besar peruntukan yang disediakan. Ukurannya ialah sama ada selepas beberapa tahun nanti rakyat boleh berkata bahawa kehidupan mereka semakin baik, peluang semakin luas dan masa depan anak-anak mereka semakin terjamin.
RMK13 menyediakan peta perjalanan negara. Tetapi suara rakyat ialah kompas yang memastikan perjalanan itu menuju ke arah yang benar!
Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.




