Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • RMK13 pacu pembangunan infrastruktur dan mitigasi banjir di Sibu
  • Tengah
  • WILAYAH

RMK13 pacu pembangunan infrastruktur dan mitigasi banjir di Sibu

Utusan Sarawak 11 hours ago
JOSEPH Chieng ketika ditemui pemberita hari ini.

SIBU: Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan projek mitigasi banjir berskala besar di daerah ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng.

Beliau berkata, RMK13 yang meliputi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030, akan memperuntukkan dana kepada pelbagai projek strategik yang bukan sahaja menghubungkan kawasan utama, malah bertujuan menangani masalah banjir yang kerap berlaku di Sibu.

“Antara projek utama yang dikenal pasti ialah pembinaan jalan baharu dari bulatan Hanns Residence ke Jalan Lapangan Terbang serta kerja menaik taraf Jalan Kong Yit Khim dan Jalan Salim,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan pek Milo sempena sambutan Hari Bapa di Pusat Khidmat DUN Bukit Assek, di sini hari ini.

Chieng memaklumkan bahawa kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kos pemindahan utiliti bagi laluan asal melebihi kos pembinaan.

“Justeru, satu jalan alternatif dari Jalan Kong Yit Khim ke Sibu Jaya melalui kawasan perumahan Bukit Penyau akan dibina. Cadangan pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Bukit Penyau juga sedang diteliti, namun pelaksanaannya dijangka bermula selepas fasa pertama RMK13,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Pelan Mitigasi Banjir Sentosa Fasa Dua telah disenaraikan di bawah portfolio Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MLGH) Sarawak yang diterajui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Projek ini telah menerima maklum balas positif daripada kementerian dan dijangka menjadi antara projek terawal dilaksanakan menerusi Rolling Plan 1 RMK13,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, beberapa projek lain turut dirancang termasuk pembinaan laluan penghubung baharu dari Teku ke Ulu Sungai Merah, Permai dan Lapangan Terbang Sibu, hasil cadangan ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang.

Menurut Chieng, kerajaan turut memperuntukkan dana bagi pembinaan jalan dari Hanns Residence ke Jalan Lapangan Terbang yang akan melalui kawasan Rizab Hutan Bukit Lima.

“Semua projek ini bukan lagi di peringkat cadangan, tetapi telah menjadi keutamaan dengan peruntukan telah tersedia. Kini kita hanya menunggu proses reka bentuk selesai sebelum tender dibuka sebaik sahaja RMK13 dimulakan,” katanya.

Tambah beliau, projek mitigasi banjir di Kampung Saujana, Jalan Jeruwit hingga ke Jalan Ek Dee turut disenaraikan dalam Rolling Plan 2 RMK13.

“RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun, tetapi peluang besar untuk merubah landskap pembangunan Sibu dari segi jaringan jalan raya serta keselamatan dan keselesaan rakyat,” katanya.

RMK13 dijangka bermula pada suku pertama 2026 dengan tumpuan awal pelaksanaan menerusi Rolling Plan 1, sebelum diteruskan secara berperingkat sehingga 2030.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Program vaksinasi anjing di Samarahan 9 Ogos ini
Next: Pesta Sarikei 2025 tarik sambutan hangat pelbagai lapisan masyarakat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.