Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • RMK13: KEMAS sedia laksana langkah prasekolah wajib usia lima tahun
  • PENDIDIKAN

RMK13: KEMAS sedia laksana langkah prasekolah wajib usia lima tahun

Utusan Sarawak 1 day ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyatakan kesediaan melaksanakan langkah penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal mewajibkan pendidikan prasekolah bermula seawal usia lima tahun.

Dalam kenyataan hari ini, KEMAS memaklumkan langkah itu selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu jabatan itu memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak.

“KEMAS menyambut baik pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya inisiatif membina baharu, membaik pulih serta menaik taraf kemudahan pendidikan TABIKA KEMAS di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Sebagai agensi pendidikan awal yang beroperasi sejak lebih lima dekad lalu, KEMAS menegaskan pihaknya sudah mengambil langkah segera bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran peringkat prasekolah.

Menurut kenyataan sama, sejak awal tahun ini, KEMAS menggerakkan pelan tindakan menyeluruh bagi menaik taraf serta membaik pulih premis TABIKA di seluruh negara.

KEMAS juga kini membuka pendaftaran bagi kemasukan TABIKA sesi 2026, yang akan ditutup pada 31 Ogos ini.

“Sehingga kini, KEMAS mengendalikan 10,567 kelas TABIKA dan 547 TASKA, membabitkan lebih 200,000 kanak-kanak di bawah bimbingan hampir 11,000 pendidik terlatih.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan program khas seperti Tunas Istimewa dan Pra Tahfiz yang menerima sambutan positif daripada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berasingan, menyatakan komitmen untuk memainkan peranan menyeluruh dalam merealisasikan matlamat RMK13 sebagai peneraju pendidikan tinggi negara.

“Kementerian akan mempergiat usaha memperkukuh tadbir urus; merasionalisasi fungsi institusi; meningkatkan keberhasilan pendidikan; memantapkan kompetensi warga pendidik; menambah baik pelaburan; memperkasa pembelajaran sepanjang hayat; serta mengukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Selaras teras Malaysia MADANI, KPT akan terus melaksanakan dasar dan inisiatif berteraskan nilai murni serta keperluan rakyat,” kata kenyataan itu.

KPT turut menggesa kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan tinggi, agensi, industri dan masyarakat dalam merealisasikan RMK13 demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

-Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Penempatan calon guru Sarawak, Sabah dan Orang Asli ambil kira lokaliti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.