
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasakan sektor pelancongan menerusi pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ), pemuliharaan aset warisan di ibu negara serta pemerkasaan industri inap desa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sektor pelancongan kini semakin segar dengan peningkatan menakjubkan apabila perbelanjaan pelancong asing di dalam negara melonjak kepada RM102.2 bilion pada 2024.
“Maka inisiatif pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri-negeri lain akan ditingkatkan bersama dengan pihak swasta dan koperasi,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata zon pelaburan itu akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu, termasuk pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf UNESCO.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan Inisiatif Warisan Kuala Lumpur sebagai ikhtiar baharu untuk menjadikan ibu negara itu bukan sahaja menarik dari segi teknologi dan bangunan canggih, tetapi juga segar daripada aspek budayanya.
“Ini termasuk khazanah bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara yang akan dipulihara serta dipelihara bagi mempertahankan keunikan sejarah Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata industri inap desa juga akan diperkasakan bagi melebarkan limpahan ekonomi sehingga ke kawasan luar bandar.
“Tahun 2026 ialah Tahun Melawat Malaysia, jadi kita harus tingkatkan usaha melalui kementerian, jabatan dan sektor swasta,” katanya.
Beliau turut berharap supaya Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin penting ke arah mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh RMK13. – Bernama