
KUALA LUMPUR: Ekonomi biru akan terus diperkasakan menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dari 2026 hingga 2030 dengan nilai industri perkhidmatan pembekalan bahan api kapal disasarkan mencecah RM19.4 bilion menjelang 2030 berbanding RM14.5 bilion pada 2024.
Menurut laporan RMK13 yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini, akaun satelit khusus untuk ekonomi biru turut dijangka siap dibangunkan 100 peratus pada 2030, selain itu pembinaan kapal penangkapan ikan moden meningkat kepada 45 pada 2030 berbanding lapan pada 2024.
Selain itu, ekonomi biru turut akan menyaksikan limbungan kapal nelayan dibina atau dinaik taraf dengan kemudahan pembinaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dengan sasaran 10 lokasi menjelang 2030.
“Pembangunan ekonomi biru akan diurus secara mampan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta melindungi ekosistem marin, pesisir pantai dan air tawar untuk manfaat generasi masa kini dan masa hadapan.
“Tumpuan akan diberikan terhadap usaha memperkukuh ekosistem ekonomi biru dan melonjakkan pertumbuhan industri strategik terpilih serta memelihara khazanah dan mengekalkan kelestarian biodiversiti,” tambah laporan itu.
Menurut laporan itu, tiga strategi telah dikenal pasti dalam usaha memperkasakan ekonomi biru iaitu memperkukuh ekosistem ekonomi biru; mempertingkatkan pertumbuhan industri strategik ekonomi biru; dan memelihara khazanah dan mengekalkan kelestarian biodiversiti.
Menerusi strategi mempertingkatkan pertumbuhan industri strategik ekonomi biru, usaha untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi biru akan ditumpukan kepada beberapa industri utama, seperti ‘shipbuilding and ship repair’ (SBSR), logistik, termasuk aktiviti ‘ship-to-ship’, perikanan dan akuakultur, pelancongan pantai dan maritim serta tenaga boleh baharu (TBB) biru.
“Selain itu, infrastruktur pelabuhan akan diperkukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi biru melalui pembangunan terminal yang lebih moden, cekap dan lestari.
“Dalam hubungan ini, kapasiti Pelabuhan Klang akan dipertingkatkan melalui pembinaan terminal ketiga di Pulau Carey dan pembangunan terminal kontena Westports 2, yang turut menerima pakai amalan mampan untuk menyokong pengendalian dagangan maritim secara rendah karbon,” menurut laporan itu.
Kapasiti pelabuhan di Sabah dan Sarawak juga akan dipertingkatkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Menurut laporan itu, insentif kewangan sedia ada akan diperkukuh, manakala pendanaan dan pembiayaan ekonomi biru yang mampan, seperti mekanisme pembiayaan campuran akan diteroka bagi menyokong pertumbuhan industri strategik ekonomi biru.
“Penggunaan teknologi termaju dalam industri marin akan diperluas, khususnya untuk modenisasi dan automasi aktiviti penangkapan ikan, perkapalan dan pelabuhan serta saringan bioprospeksi marin.
“Penggunaan teknologi dan inovasi dalam pengurusan sisa lautan, pemuliharaan alam sekitar dan karbon biru akan turut diberi tumpuan,” jelasnya.
Selain itu, kerjasama pada peringkat serantau dalam pelbagai bidang akan dipergiat, meliputi aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.
“Hab ekonomi biru pula akan dibangunkan di negeri yang berpotensi seperti Kelantan, Perak, Sabah dan Terengganu untuk menarik pelaburan dalam industri strategik ekonomi biru.
“Pengalaman dan kepakaran tempatan dalam industri strategik akan diiktiraf dan dimanfaatkan bagi menarik minat belia menceburi aktiviti ekonomi biru yang menawarkan pendapatan tinggi,” tambahnya.
Menerusi strategi memelihara khazanah dan mengekalkan kelestarian biodiversiti, penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) akan diperketat untuk membendung aktiviti perikanan secara haram dan berlebihan, terutama di kawasan Laut China Selatan.
“Akta 317 ini juga akan dipinda bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia serta menangani masalah kemerosotan sumber perikanan negara,” menurt laporan itu.
Selain itu, sistem tagal atau tagang yang diamalkan di Sabah dan Sarawak pula akan diperluas ke Semenanjung Malaysia bagi menjamin kelestarian sumber perikanan darat.
“Kerjasama strategik dengan pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat akan terus diperkukuh dalam pelaksanaan program pengurusan sisa dan kitar semula di pulau serta pembersihan pantai.
“Usaha juga akan dipergiat bagi menggalakkan penyedia kemudahan dan fasiliti pelancongan untuk mengguna pakai teknologi terkini dalam pengurusan tenaga, air dan sisa secara mampan,” jelasnya.
– Bernama