Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • RMK13 fokus tingkatkan pendapatan negara dan rakyat – Fahmi
  • NASIONAL

RMK13 fokus tingkatkan pendapatan negara dan rakyat – Fahmi

Utusan Sarawak 1 day ago
MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas hadir Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025 (ICC2025) di Bangsar hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok bakal memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata prinsip utama yang mendasari RMK13 adalah konsep raising the ceiling and raising the floor iaitu strategi jangka sederhana lima tahun untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kita juga akan memberi fokus kepada beberapa sektor, industri-industri yang tambah nilai dan juga mencipta nilai dan fokusnya adalah kepada penghiliran serta sektor hiliran. Ini adalah secara umum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025 (ICC2025) di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan matlamat untuk membina asas ekonomi yang lebih inklusif dan mampan dalam tempoh perancangan lima tahun akan datang.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat esok.

Mengenai ICC2025, Fahmi berharap program itu dapat memberi peluang kepada pemain industri telekomunikasi dan teknologi untuk meneliti perkembangan terkini dalam industri berkenaan termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang boleh dimanfaatkan menerusi Internet berkelajuan tinggi.

Walaupun kesalinghubungan dan kelajuan Internet semakin berkembang pesat, beliau berkata nilai-nilai manusiawi tidak boleh diketepikan dalam era digital.

“Kita boleh memanfaatkan AI tetapi aspek manusiawi seperti etika harus diutamakan serta dijadikan pasak serta tonggak kepada perancangan-perancangan kita termasuk dalam aspek pembangunan dan masa depan,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator dari seluruh dunia untuk meneroka masa depan kesalinghubungan digital sekali gus menjadi platform utama bagi memahami trend baharu, membina kerjasama strategik serta memacu inovasi dalam dunia yang semakin terhubung.

Program itu antaranya menampilkan pameran teknologi terkini termasuk AI, teknologi kuantum dan ekosistem data pintar selain sesi panel berimpak tinggi bagi membincangkan cabaran dan peluang dalam era transformasi digital.– Bernama

Continue Reading

Previous: Terbabit pergaduhan, empat murid digantung sekolah – Fadhlina
Next: Ideanya bagus, berikan Jonassen masa – Chong Wei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.