RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah kesinambungan Rancangan Pembangunan Malaysia yang sejak dari awal kemerdekaan negara, peringkat demi peringkat. Ia dimulai dengan Buku Kuning 1951-1955, diikuti dengan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua pada 1956-1960 dan 1961 -1965.
Selepas pembentukan Malaysia, rancangan berkenaan dijenamakan dalam konteks pembangunan yang luas, menjadi Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Seterusnya, rancangan pembangunan ini mempunyai fokus dan hala tuju yang menyeluruh untuk mencapai matlamat negara. Setiap dekad semasa, mempunyai kepentingan khusus dalam pembangunan negara, misalnya berlaku pada era Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, penekanan aspek bioteknologi, multi media superkoridor, tranformasi kerajaan dan sebagainya.
RMK12 dan Covid–19
RMK12 (2021-2025) dilancarkan ketika ekonomi dunia pudar akibat kesan Covid-19 dan kesan ini juga memberikan kesan yang sama kepada situasi di Malaysia. Maka, RMK12 bermatlamat untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.
Rancangan ini usaha bersifat nasional dan cuba membaiki, memulih dan membangunkan semula ekonomi Malaysia, dan pada masa yang sama, cuba melakukan reformasi sistem bagi memastikan tadbir urus lebih baik, integriti, di samping ketirisan dapat dikurangkan.
Perdana Menteri juga mengumumkan kerangka kerja yang menyeluruh untuk memastikan ekuiti Bumiputera dijual kepada Bumiputera juga. Perkara sedemikian ini untuk memastikan ekuiti Bumiputera terus wujud dan langkah ke hadapan yang diperlukan bagi memelihara dan memakmurkan penyertaan sektor ekonomi Bumiputera.
Sudah pasti terdapat kritikan, khususnya bagi kalangan penganut sistem ekonomi liberal dan kapitalis yang memperlihatkan campur tangan kerajaan akan menjadikan situasi ekonomi menjadi kurang kompetitif dalam sektor ekonomi semasa. Namun, aspek campur tangan kerajaan adalah antara pendekatan kerajaan bagi memastikan ekonomi Bumiputera terus dapat dilestarikan.
Tanpa pendekatan seumpama ini, ekuiti Bumiputera sukar dipertahankan, apatah lagi untuk dipertingkatkan. Hakikatnya, ekuiti Bumiputera hanyalah 17.2 peratus sahaja berdasarkan statistik 2019, sedangkan sasaran asal kerajaan adalah 30 peratus. Hal ini menjadikan situasi ini kelihatan parah apabila jumlah penduduk Bumiputera melebihi 60 peratus di negara ini yang kini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Memang terdapat golongan bukan Bumiputera yang miskin, namun dari segi statistic, jumlah kemiskinan yang terbesar ialah kalangan bumiputera. Hal ini bermakna, walaupun tumpuan menangani kemiskinan masyarakat Bumiputera yang merupakan golongan miskin yang terbesar, namun belenggu kemiskinan kalangan masyarakat Cina dan India juga tetap diberikan perhatian.
Langkah Kerajaan
Matlamat murni kerajaan dalam RMK12 adalah untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menyasarkan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850. Tumpuan akan diberikan kepada daerah dan lokasi termiskin di bandar dan luar bandar bagi menangani isu kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklusif. Beberapa strategi nakal dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan yang antara lain termasuklah, dalam RMK12, kerajaan akan menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada agar dapat memastikan bantuan yang lebih bersasar dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. Perkara ini akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, kuasa beli, demografi serta lokasi isi rumah. Hal ini akan dapat akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan.
Bagi tujuan itu, kerajaan menggariskan enam bidang keutamaan RMK12, termasuk Menangani Kemiskinan dan Mengurangkan Ketidaksamarataan daripada Perspektif Pelbagai Dimensi, Memperkasa B40 dan Mencapai Kesaksamaan Keberhasilan Bumiputera. Misalnya, aspek kemiskinan daripada pelbagai dimensi selain kewangan, justeru dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. Selain itu, dalam aspek capaian kepada penjagaan kesihatan akan dipertingkat, termasuk isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 akan ditangani secara komprehensif, termasuk melalui makanan berkhasiat.
Dari aspek kesihatan, akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan kemudahan kesihatan primer di kawasan luar bandar dan pedalaman juga akan dipertingkatkan untuk menyediakan perkhidmatan yang mampu bayar dan lebih berkesan. Inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) akan dimantapkan dan diperluaskan. Usaha meningkatkan kesedaran kumpulan sasar sebahagian daripada kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peralatan perubatan juga akan dilakukan, manakala model wakaf akan diguna sebagai alternatif bagi meringankan beban B40 untuk memenuhi perbelanjaan penjagaan kesihatan yang meliputi penyediaan perkhidmatan ambulans, pusat dialisis dan pusat penjagaan warga emas..
Langkah ini selaras dengan prinsip tidak ada sesiapa pun yang tertinggal dalam arus pembangunan. Perkara ini dapat dilihat daripada tumpuan dalam menangani kemiskinan dan keterangkuman bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik dan memberikan keadilan sosial.
Bagi meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup B40 serta kumpulan mudah terjejas, kerajaan memberi jaminan untuk meneruskan rangkaian peruntukan bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial kepada mereka yang layak. Program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan skim pembangunan kesejahteraan rakyat di luar bandar dengan peruntukan RM1.5 bilion terus dilaksanakan bagi memastikan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.
Hala Tuju
Dalam usaha menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklusif, terdapat tiga hala tuju disasarkan, iaitu memberi sokongan kepada M40 bagi mewujudkan masyarakat saksama, meningkatkan pembangunan masyarakat Orang Asli dan memperkasa kumpulan sasar khusus.
Dalam konteks strategi di bawah Bidang Keutamaan Menangani Kemiskinan dan Ketidaksamarataan daripada Perspektif Pelbagai Dimensi termasuklah usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan memperbaiki kualiti hidup miskin bandar. Maka, sejumlah 50,000 isi rumah miskin akan beroleh manfaat apabila kesinambungan program bantuan rumah, iaitu usaha membaik pulih rumah usang. Selain itu, 500,000 rumah mampu milik akan dibangunkan bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik yang berkualiti dan selesa, khususnya terhadap golongan tersebut. Usaha menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) untuk mengukur kemiskinan berdasarkan empat dimensi, iaitu pendapatan, pendidikan, kesihatan dan taraf hidup juga dijadikan sebagai kayu pengukur kerana terbukti berkesan sepertimana yang dilakukan dalam Rancangan Malaysia ke-11 sebelum ini.
Golongan M40 yang turut mendapat tempat sebagai satu daripada bidang keutamaan bagi mewujudkan masyarakat yang saksama dengan menggariskan empat strategi, iaitu melonjakkan pendapatan, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu bayar, menggalakkan perlindungan kesihatan dan pekerjaan serta meningkatkan pemilikan rumah. Program, latihan kemahiran semula dan aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan demi memacu keupayaan, kemahiran serta daya saing mencari pekerjaan golongan M40. Anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan.
Tumpuan golongan B40 dan M40 ini bertujuan bagi mempertingkat taraf hidup golongan tersebut agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan negara kalaupun taraf mereka belum lagi mencapai seperti golongan T20 yang lebih selesa kesejahteraan hidup mereka dalam pelbagai dimensi. Namun, tidak semestinya, mengabaikan golongan T20 kerana RMK12 ialah dasar yang lebih menyeluruh dan cuba memastikan tidak ada pihak yang akan tercicir daripada pembangunan yang dirancangkan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).