TEBEDU: Projek naik taraf jalan perhubungan Kampung Semeru hingga Kampung Kuhom sepanjang 15.45 kilometer dengan kos RM95 juta dijangka memberi impak besar kepada kesalinghubungan dan pembangunan masyarakat luar bandar di kawasan Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, berkata projek berkenaan merupakan satu lagi usaha penting untuk meningkatkan jaringan perhubungan serta akses jalan raya penduduk di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) – Naik Taraf Jalan Link Kampung Semeru–Kampung Kuhom, Tebedu, di Kampung Semeru, Jalan Link Padawan–Tebedu, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, yang turut menyaksikan bermulanya satu projek infrastruktur penting untuk penduduk di sepanjang jajaran berkenaan.
Menurut Dr. Simon, projek itu dilaksanakan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana.
Projek bernilai RM95 juta itu melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan sepanjang 15.45 kilometer, dengan tarikh mula projek pada 5 Mei 2026 dan tempoh pembinaan selama 24 bulan.
Projek tersebut dijangka siap pada Mei 2028, sekali gus menyediakan jaringan jalan raya yang lebih baik dan berupaya meningkatkan pergerakan penduduk serta aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Jajaran projek itu melibatkan sembilan buah kampung, termasuk Kampung Semeru, Kampung Plaman Dunuk, Kampung Padus Stubot, Kampung Bisira Rayang, Kampung Kuhom Mawang, Kampung Uhom Mandeg dan Kampung Rudan, selain beberapa kampung lain di sepanjang jajaran.
Dr. Simon berkata, pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada penduduk, khususnya dari segi kesalinghubungan antara kampung dan kemudahan pergerakan harian.
Katanya, jaringan jalan yang lebih baik juga penting dalam menyokong mobiliti penduduk, selain membuka ruang kepada perkembangan aktiviti ekonomi serta memperkukuh hubungan antara komuniti di kawasan luar bandar.
Pada masa yang sama, projek itu diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, termasuk pendidikan, kesihatan serta kegiatan ekonomi.
Projek berkenaan menjadi antara usaha berterusan memperkukuh infrastruktur luar bandar, khususnya bagi meningkatkan kesalinghubungan penduduk di sepanjang laluan Semeru–Kuhom.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Residen Bahagian Serian, Marcos Sibong serta Jurutera Bahagian JKR Serian, Ir. Chresly Francis Kureng.
Turut hadir Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar dan Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari.
Oleh Adi Safarman



