RM94,500 lengkapkan bilik darjah SK Sungai Stutong dengan televisyen interaktif

Facebook
WhatsApp
SUMBANGAN PENDIDIKAN... Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian bersama pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Stutong pada penyerahan televisyen interaktif pintar untuk kegunaan murid di sekolah berkenaan.

KUCHING: Sebanyak RM94,500 diperuntukkan bagi pembelian tujuh unit televisyen interaktif pintar (Smart Interactive TV) untuk melengkapkan kemudahan pembelajaran digital di semua bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Stutong.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, berkata peruntukan terbaharu itu meneruskan bantuan yang disalurkan kepada sekolah berkenaan pada tahun lalu apabila lapan unit Smart Interactive TV turut disumbangkan.

“Dengan peruntukan tahun ini, semua bilik darjah di SK Sungai Stutong kini akan dilengkapi kemudahan tersebut, membolehkan lebih ramai murid menikmati suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik,” katanya.

Menurut Kong, kemudahan berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, malah memberi sokongan kepada guru dalam melaksanakan pengajaran di bilik darjah.

Katanya, SK Sungai Stutong memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan kepada masyarakat setempat, dengan ramai murid berasal dari Kampung Stutong dan Skim Penempatan Semula Stampin, termasuk daripada keluarga golongan B40.

“Bagi kami, ini bukan sekadar menyediakan peralatan. Pendidikan merupakan antara alat paling penting untuk memperkasakan kanak-kanak dan memberi mereka peluang yang lebih baik dalam kehidupan.

“Latar belakang seseorang kanak-kanak atau keadaan kewangan keluarga tidak seharusnya menentukan kualiti pendidikan yang diterima,” katanya.

Kong berkata penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih baik di sekolah berkenaan diharap dapat membantu murid membina kemahiran dan keyakinan, selain memberi mereka peluang untuk mencapai potensi masing-masing.

“Dengan membantu sekolah menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, kami berharap dapat memberikan murid-murid ini kemahiran, keyakinan dan peluang yang diperlukan untuk mencapai potensi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memahami keperluan guru dan pentadbiran serta mengenal pasti bidang lain yang memerlukan bantuan.

“Komitmen kami adalah untuk terus melabur dalam pendidikan dan, yang paling penting, dalam masa depan anak-anak kita,” katanya.

Oleh Connie Chieng