
PADAWAN: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus dizahirkan apabila seramai 23 penerima menerima cek bantuan projek khas berjumlah RM924,410.
Penyampaian cek dan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil dalam majlis hari ini.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai empat individu menerima Sijil Diiktiraf Sebagai Bumiputera Sarawak (NRS) menandakan satu pengiktirafan penting yang memberi akses lebih luas kepada peluang dan hak istimewa di bawah dasar kerajaan Sarawak.
Beliau berkata pemberian dana ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam mempercepat pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti di kawasan luar bandar melalui projek khas termasuklah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 2 tahun 2025.
“Dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan terus kepada rakyat bagi memastikan projek-projek pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi impak jangka panjang,” ujarnya semasa berucap.
Dalam masa sama, penyerahan Sijil NRS kepada empat individu merupakan antara langkah progresif di bawah perundangan baharu negeri yang mengiktiraf status Bumiputera bagi anak-anak hasil perkahwinan campur, khususnya apabila ibu adalah Bumiputera Sarawak.
“Ini memberi jaminan masa depan kepada anak-anak Sarawak yang layak dan memastikan mereka tidak dinafikan hak sebagai Bumiputera dalam pembangunan Sarawak,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan semua penerima dana untuk menguruskan akaun persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara telus, dengan penyata tahunan yang dikemas kini demi mengelakkan penyalahgunaan dana.
-UKAS