
SPAOH: Beberapa projek pembangunan berimpak tinggi bernilai RM91.5 juta telah diperuntukkan bagi memacu kemajuan di Daerah Kecil Spaoh, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta telah disalurkan untuk membangunkan sistem perparitan dan pengairan di Taman Agro Bebuling, yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar.
“Tapak ini akan menempatkan salah satu rumah hijau terbesar di Sarawak.
“Tiga syarikat utama telah dilantik untuk mengetuai pembangunannya dan kita berharap pelaksanaan projek ini dapat direalisasikan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata bagi kawasan Tanjung Sebekut yang telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan tanaman padi utama negeri, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah meluluskan peruntukan RM6.5 juta bagi kemudahan bekalan air dan elektrik.
“Saya menyeru semua pemilik tanah untuk memberikan kerjasama sepenuhnya demi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini,” tegasnya.
Tambah beliau, sebuah dewan serba guna baharu turut akan dibina dan dinamakan sebagai Dewan Arena Sukan Spaoh, dengan kos pembinaan sebanyak RM25 juta. Dewan ini mampu menampung lebih 2,000 orang dalam satu masa.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan pusat hemodialisis bernilai RM5 juta di Klinik Kesihatan Spaoh dijadualkan untuk ditender pada Jun tahun ini.
Bagi menyokong kegiatan ekonomi tempatan, sebuah pasar malam atau medan selera baharu bernilai RM5 juta juga akan dibina sebagai ruang niaga tambahan untuk penjaja dan peniaga kecil.
Selain itu, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak kini sedang dalam proses membina 10 unit kedai baharu di pekan Spaoh.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah turut memberi jaminan bahawa projek pembinaan Jambatan Sungai Paku, yang telah lama dinanti-nantikan penduduk setempat, akan siap menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, jambatan sepanjang 107 meter itu melibatkan kos RM36.9 juta dan pernah dikategorikan sebagai projek sakit sebelum ini. Namun, sebuah kontraktor penyelamat telah dilantik pada Mei 2023 bagi meneruskan pembinaannya.
“Jika Jambatan Batang Lupar 1 bernilai RM375.5 juta dan sepanjang 4.8 kilometer yang merentasi Sungai Batang Lupar dapat disiapkan pada penghujung tahun ini, tidak ada sebab mengapa Jambatan Sungai Paku yang lebih pendek dan murah tidak boleh disiapkan dalam tempoh sama,” katanya.
Untuk rekod, Jambatan Batang Lupar 1 bakal menjadi jambatan terpanjang yang merentasi sungai di negara ini apabila siap sepenuhnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu dalam ucapannya menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Uggah dalam membawa lebih banyak projek pembangunan ke kawasan tersebut.
Oleh Adi Safarman