
KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang memuktamadkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan khas melibatkan 136 kilometer laluan kritikal atau redline di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM900 juta.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan berhubung pelantikan syarikat konsesi yang akan melaksanakan kerja baik pulih dan penyelenggaraan berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, kos projek yang tinggi memerlukan pendekatan pembiayaan khusus menerusi peruntukan pembangunan infrastruktur bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan dengan berkesan.
“Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik untuk melaksanakan kerja ini dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo, Nanta berkata jajaran di Sarawak pada dasarnya telah siap sepenuhnya, kecuali beberapa kerja pemindahan utiliti yang masih berjalan di kawasan Lambir.
Katanya, pelaksanaan projek di Sarawak lebih mudah diurus kerana keseluruhan jajaran dibahagikan kepada 11 pakej kerja sahaja, berbanding Sabah yang melibatkan lebih banyak pakej pembangunan.
Di Sabah, katanya, Fasa 1A merangkumi 15 pakej kerja dengan 10 daripadanya disasarkan siap menjelang penghujung tahun ini.
Sementara itu, Fasa 1B yang melibatkan 19 pakej kerja dan dianugerahkan pada Oktober 2024 masih berada pada peringkat awal pelaksanaan dengan kemajuan fizikal kurang daripada 10 peratus.
Beliau menjelaskan beberapa faktor seperti proses pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta keadaan muka bumi berbukit dan bergunung di Sabah menjadi antara cabaran utama yang mempengaruhi kemajuan projek di negeri tersebut.
Oleh Shikin Mahmud