
SIMUNJAN: Sebanyak 27 kampung Iban di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima peruntukan dana aktiviti tahunan melalui satu program penyerahan cek yang berlangsung dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Simunjan, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang menyampaikan cek berjumlah keseluruhan RM81,000 kepada Pengerusi dan wakil-wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masyarakat Iban dari seluruh kawasan Simunjan.
Setiap kampung menerima RM3,000 khusus bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti tahunan di peringkat kampung, khususnya sebagai persediaan menyambut perayaan Hari Gawai yang bakal tiba.
Beliau menegaskan bahawa sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan peranan JKKK sebagai penggerak utama pembangunan sosial dan budaya di peringkat akar umbi.
“Dana ini adalah bentuk sokongan langsung kepada kepimpinan komuniti kita di peringkat kampung.
“Ia diharap dapat membantu JKKK melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada penduduk, terutamanya dalam konteks sambutan Hari Gawai yang amat penting bagi masyarakat Iban,” ujar beliau.
Sementara itu, para penerima menyatakan penghargaan terhadap perhatian dan sokongan yang diberikan kepada komuniti Iban di kawasan luar bandar dan berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh institusi JKKK serta semangat muafakat dalam kalangan penduduk kampung.
Penyerahan dana ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan terhadap kepimpinan komuniti tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak kerajaan dan rakyat dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar secara mampan dan berdaya saing.
-UKAS