
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM800,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan dua projek infrastruktur penting di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek tersebut dilaksanakan sebagai langkah penyelesaian terhadap aduan penduduk berkaitan masalah banjir dan hakisan jalan akses.
Menurut beliau, isu banjir yang kerap melanda serta keadaan jalan yang terjejas akibat hakisan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, sekali gus memerlukan tindakan segera.
“Peruntukan RTP ini disalurkan bagi memastikan masalah yang dihadapi rakyat dapat ditangani dengan berkesan, di samping meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan siri lawatan pemantauan projek RTP di sekitar kawasan DUN Simanggang, Sri Aman semalam.
Projek pertama yang dilawati ialah naik taraf sistem perparitan di Taman Kurniaman Fasa II, Pasir Panas dengan kos RM500,000 yang dilaksanakan oleh syarikat Gagasan Nusantara.
Projek tersebut dijadualkan siap pada 22 Jun ini dan dijangka dapat mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

Sementara itu, projek kedua melibatkan pembinaan Benteng Sungai Suang di Sabu dengan kos RM300,000 di bawah pelaksanaan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Projek tersebut yang dibina oleh syarikat Nuza Indah Enterprise telah siap lebih awal daripada jadual, sekali gus memberi manfaat segera kepada penduduk sekitar.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, projek RTP ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sarawak yang disalurkan melalui wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan infrastruktur yang berimpak tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa lawatan pemantauan ini bertujuan menilai kemajuan projek serta mendapatkan maklum balas daripada agensi pelaksana dan kontraktor sebagai rujukan dalam menjawab pertanyaan rakyat berhubung pelaksanaan projek di kawasan tersebut.
Oleh Adi Safarman