
KABONG: Peruntukan berjumlah RM700,000 diperuntukkan bagi membina baharu sebuah surau di Pantai Tanjung Kembang, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata pembinaan surau berkenaan akan menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Seperti sedia maklum, Pantai Tanjung Kembang merupakan sebuah lokasi peranginan di Daerah Kabong ini, kehadiran pengunjung dilihat semakin bertambah ramai.
“Justeru itu, pihak kita mahu menyediakan sebuah surau untuk kegunaan para pengunjung yang datang ke Pantai Tanjung Kembang dan apabila siap nanti mereka bolehlah melakukan solat di surau baharu ini nanti,” katanya semasa melakukan lawatan di tapak cadangan pembinaan surau tersebut hari ini.
Chee Kadir berkata Pantai Tanjung Kembang akan terus dibangunkan melibatkan pembangunan kemudahan infrastruktur yang kini dilihat semakin berkembang sejajar sebagai lokasi percutian dan pelancongan baharu dalam menarik kehadiran pelancong luar ke daerah ini.
“Pantai Tanjung Kembang kini jauh berbeza, sebelum sembilan tahun kebelakangan ini pantai ini tidak mempunyai kemudahan insfrastruktur yang lengkap seperti yang ada sekarang.
“Jika sesebuah pantai yang begitu menarik tidak mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang lengkap, agak mustahil pengunjung dari luar Kabong yang ingin berkunjung ke pantai ini, sekaligus turut memberi kesan kepada pengusaha rumah inap desa (homestay) menjalankan perniagaan mereka yang kekurangan pengunjung yang datang ke daerah ini.
“Justeru sejak saya dipilih untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini pada 2016 lalu, saya optimis dan berusaha akan membangunkan Pantai Tanjung Kembang ini dengan menjadikan kawasan ini satu lokasi menarik yang harus dikunjungi oleh pengunjung. Alhamdulillah setakat ini usaha ini telah sedikit sebanyak berhasil dan menjadi kenyataan,” katanya.
Turut hadir, wakil Pengurusan HK Enterprise, Kamaluddin Alkap dan Penolong Jurutera Kanan Awam Jabatan Kerja Raya (JKR), Khairuldin Madzihi.
Oleh Adi Saparman